Kanada Mara Ke Pusingan 16 Selepas Tundukkan Afrika Selatan
ISTANBUL, 29 Jun (Bernama-Anadolu) -- Kanada melangkah ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 menerusi jaringan lewat permainan dalam aksi pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Kanada menguasai sebahagian besar babak pertama dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun dua pertahanan tengahnya, Derek Cornelius dan Moise Bombito, gagal memanfaatkan peluang yang terhidang.
Di gawang lawan, penjaga gol Afrika Selatan, Ronwen Williams melakukan beberapa aksi cemerlang untuk memastikan Bafana Bafana kekal kebal.
Afrika Selatan memberikan tentangan sengit, namun Kanada terus tampil lebih berbahaya sepanjang babak kedua.
Kebuntuan akhirnya dipecahkan pada waktu kecederaan apabila bola melantun ke arah Stephen Eustaquio di luar kotak penalti.
Pemain tengah itu melakukan rembatan menerjah penjuru bawah gawang pada minit ke-90+2, sekali gus memastikan kemenangan dramatik kepada Kanada.
Sebelum ini, kedua-dua pasukan tidak pernah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia, namun jaringan Kanada itu memastikan mereka mencipta sejarah dengan layak ke pusingan 16.
Kanada akan berdepan sama ada Belanda atau Maghribi bagi merebut tempat ke suku akhir.
-- BERNAMA-ANADOLU
Berita terkini
- Kajian UOB: Perniagaan kekal berdaya tahan pada 2026, pengurusan tenaga jadi keutamaan strategik
- Cadangan Penyertaan Program Promosi Eksport Negara Bagi 2026 Disemak Semula - KSN
- Insiden Letupan Loji Shell MDS 1997: Khirudin Imbau Kembali Cabaran Pasukan Bomba
- Paydibs Sasar Pasaran Asia Tenggara, Pengembangan Di Asia Selatan
- Dewan Perwakilan AS Lulus Pakej Keselamatan Dalam Talian Kanak-Kanak