25/06/2026 08:38 AM

Di Sebalik Hebatnya Kasih Bapa

 

 

 

Menggelar seorang lelaki dengan panggilan bapa adalah satu pengiktirafan tentang keberanian memikul dunia di atas bahu sendiri.

Dari debaran seorang bapa muda yang pertama kali mengazankan zuriat, keringat bapa yang membanting tulang bersengkang mata di kota raya, sehinggalah renungan redup bapa yang meniti usia senja di halaman kampung, pengorbanan lelaki bergelar ayah jarang sekali diucap dengan kata-kata.

Kasih sayang seorang ketua keluarga tidak selalu dizahirkan menerusi pelukan erat atau rintihan penat, sebaliknya sentiasa diterjemah melalui usaha tanpa lelah untuk memastikan meja makan sentiasa terhidang dan maruah keluarga terus terpelihara di mata masyarakat,.

Kebetulan pula, bulan Jun bukan sekadar detik untuk meraikan Hari Bapa, tetapi bulan ini turut diiktiraf sebagai bulan kesedaran kesihatan mental lelaki.

 

 

Meluah perasaan bukan bererti lemah

 

Hakikatnya, wujud satu tembok persepsi dalam masyarakat kita yang mengajar anak lelaki sejak dari buaian lagi untuk sentiasa menahan air mata dan kekal kuat walau apa pun badai melanda.

Perkara sebegini secara tidak sedar memerangkap ramai ketua keluarga dalam kesunyian yang amat memilukan.

Perasaan letih melampau, risau akan kemelut kewangan dan bebanan memenuhi harapan keluarga sering dipendam sendirian kerana bimbang dituduh lemah atau dianggap gagal menjadi nakhoda kapal yang teguh.

Dari sudut psikologi, lelaki secara fitrahnya cenderung untuk menyelesaikan masalah secara praktikal berbanding meluahkan emosi secara lisan.

Apabila berhadapan dengan tekanan yang mencengkam fikiran, minda seorang bapa akan bertindak mengasingkan perasaan sedih atau takut demi meneruskan kelangsungan hidup keluarganya.

Tindakan memendam rasa secara berterusan ini akhirnya menjadi sebuah bom jangka.

Emosi yang tidak diproses ini sama sekali tidak hilang ditelan masa, sebaliknya menjelma dalam bentuk perubahan tingkah laku seperti cepat marah, menarik diri daripada interaksi sosial, tenggelam dalam ketagihan kerja atau diserang masalah kesihatan fizikal yang tidak berkesudahan.

Oleh hal yang demikian, membina ruang yang selamat untuk lelaki meluahkan perasaan adalah satu keperluan yang sangat mendesak pada masa kini.

Kebanyakan bapa tidak mencari jawapan magis atau penyelesaian segera apabila raut wajah mereka nampak berserabut dengan pelbagai masalah.

Kadang-kala, ruang untuk bercakap dan didengari tanpa sebarang hukuman atau percubaan untuk terus memperbetulkan keadaan sudah cukup melegakan dada yang sesak.

Mendengar dengan penuh empati tanpa niat untuk membaiki kemelut tersebut atau menghakimi kelemahan yang ada merupakan penawar paling mujarab bagi jiwa seorang lelaki yang sedang melalui fasa keletihan kronik.

 

 

Lelaki juga berhak untuk bersedih dan menangis

 

 

Dalam pandangan luhur agama Islam, peranan bapa sebagai pelindung dan pengurus rumahtangga sememangnya menuntut ketabahan yang luar biasa.

Namun, gelaran pelindung ini sama sekali tidak menafikan sifat manusiawi seorang lelaki yang berhak merasa sedih, penat dan rebah tersungkur.

Sirah merakamkan betapa Rasulullah sendiri menitiskan air mata kesedihan tatkala kehilangan orang tersayang, membuktikan bahawa perbuatan menangis dan bersedih bukanlah lambang kecacatan jiwa seorang lelaki.

Mengadu keluh kesah kepada Yang Maha Pencipta melalui doa, serta mengamalkan konsep tawakal setelah habis berikhtiar adalah sauh kerohanian yang pasti mengembalikan ketenangan.

Menyedari hakikat bahawa manusia hanya merancang dan berusaha, manakala hasil mutlak adalah milik Tuhan, sangat membantu melepaskan bebanan kesempurnaan yang sering mencekik leher para bapa.

Bagi isteri, anak-anak dan ahli keluarga, hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Bapa bukanlah sekadar barangan mewah berbalut indah, tetapi kesediaan untuk menjadi tempat persinggahan emosi yang damai buat ketua keluarga.

Mulakan langkah dengan menghargai usahanya yang paling kecil, tanyakan khabarnya secara ikhlas dari hati ke hati dan biarkan ketua keluarga tahu bahawa nilai peribadinya bukan semata-mata diukur melalui jumlah wang ringgit yang dibawa pulang.

Bagi para bapa pula, izinkan diri sendiri untuk berehat seketika apabila lelah mula menyapa tubuh dan minda.

Mencari bantuan sokongan, sama ada berkongsi beban perasaan kepada rakan yang dipercayai atau berjumpa dengan kaunselor profesional, bukanlah satu tanda kekalahan atau aib.

Tindakan mendapatkan rawatan serta sesi bimbingan psikologi adalah bukti cinta paling agung seorang pelindung, kerana bapa yang sejahtera jiwanya pasti akan melahirkan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

Selamat Hari Bapa buat semua insan hebat bergelar ayah, abah, walid, atau papa di seluruh pelosok negara.

Keringat dan air mata yang disembunyikan demi melihat senyuman ahli keluarga merupakan satu bentuk perjuangan yang sangat mulia di sisi agama.

Teruslah melangkah memimpin keluarga, namun sentiasa ingat bahawa menjaga kesejahteraan mental sendiri adalah sama pentingnya dengan memenuhi setiap keperluan isi rumah.

Kesedihan dan kepenatan itu fitrah yang boleh dikongsi dan sentiasa ada telinga yang sudi meminjamkan tumpuan, asalkan pintu hati sentiasa terbuka untuk menerima rawatan.

Kasih seorang bapa sememangnya tiada tandingan, tetapi kehebatan sebenar hanya bermula apabila seorang bapa berani menyembuhkan luka di dalam jiwanya sendiri.

 

--BERNAMA

 

Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin K.B;P.A ialah kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.