JKKP Siasat Kemalangan Maut Di Tapak Kerja Pembersihan Tangki Air
PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyiasat kejadian kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar pelatih semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan tangki air di Menara Saujana Perdana 1, Sungai Buloh, Selangor pada 16 Jun lepas.
Ketua Pengarah JKKP Hazlina Yon berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan pegawai penyiasat JKKP Selangor telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian serta mengeluarkan Notis Larangan Kacau Ganggu Kawasan Kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang berkaitan.
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan tanggungjawab majikan, orang bekerja sendiri serta pihak berkaitan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta orang lain yang mungkin terjejas oleh aktiviti kerja.
“JKKP ingin mengingatkan semua majikan dan pekerja agar sentiasa mematuhi keperluan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam pelaksanaan kerja di ruang terkurung.
“Setiap aktiviti kerja hendaklah dilaksanakan mengikut prosedur kerja selamat yang ditetapkan, termasuk memperoleh permit kerja yang berkaitan serta memastikan semua langkah kawalan yang bersesuaian dilaksanakan sebelum pekerja dibenarkan memasuki ruang terkurung,” katanya.
Hazlina berkata JKKP turut menegaskan bahawa majikan bertanggungjawab mengenal pasti dan menilai risiko yang berkaitan dengan setiap aktiviti kerja sebelum ia dilaksanakan, terutama bagi kerja berisiko tinggi.
Bagi pelajar latihan industri atau pekerja baharu yang terlibat dalam aktiviti tersebut, majikan hendaklah memastikan mereka menerima latihan, taklimat keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mencukupi serta dipantau oleh penyelia yang kompeten.
“Langkah ini penting bagi memastikan setiap individu memahami risiko yang dihadapi, mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan dan melaksanakan tugas dengan selamat dan sihat agar kejadian seumpama ini dapat dicegah daripada berulang pada masa hadapan.
“Majikan hendaklah memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang terlibat dalam aktiviti kerja, termasuk vendor dan kontraktor, sentiasa diberi keutamaan,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PM Anwar Lulus Kenaikan Geran Tahunan KRT Kepada RM10,000
- 15 Petugas ERL Selesai Tugasan Di Makkah Metro Semasa Musim Haji 2026
- Polis, LGM Tumpaskan Sindiket Sedut Dan Curi Lateks Di Taiping
- Kuala Lumpur Sasar Minimum Empat Emas Acara Tenis Di SUKMA 2026
- Ringgit Terus Meningkat Susulan Data Ekonomi Malaysia Kukuh