Piala Dunia FIFA: England, Ghana Terikat Tanpa Jaringan
WASHINGTON, 24 Jun (Bernama-Anadolu) -- England sekadar seri tanpa jaringan dengan Ghana di Boston pada Selasa, sekali gus terlepas peluang untuk meneruskan rentak kemenangan selepas memenangi perlawanan pembukaan mereka pada kempen Piala Dunia FIFA 2026, lapor Anadolu Ajansi.
Selepas membuka kempen kejohanan dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia, England bergelut untuk menembusi benteng Ghana yang berdisiplin dan lebih banyak bertahan sepanjang perlawanan.
Skuad The Three Lions gagal mengulangi ketajaman serangan yang dipamerkan dalam perlawanan pembukaan mereka dan hanya mencipta beberapa peluang jelas untuk menjaringkan gol ketika berdepan lawan yang lebih banyak berkubu di kawasan sendiri. Ghana pula tidak melakukan sebarang percubaan sehingga minit ke-50.
England cuba meledak gol kemenangan pada lewat permainan tetapi gagal menyempurnakan beberapa peluang. Bukayo Saka memaksa penjaga gol Benjamin Asare melakukan aksi menyelamat sebelum Nico O’Reilly menyaksikan cubaannya terkena palang gol. Harry Kane kemudian melepaskan rembatan tinggi dari jarak dekat, manakala tandukan Marc Guehi dikeluarkan di atas garisan gol pada penghujung perlawanan.
Keputusan seri itu menyaksikan England dan Ghana berkongsi empat mata dalam Kumpulan L selepas dua perlawanan, dengan kedua-dua pasukan kekal tanpa kalah selepas mencatat kemenangan pada aksi pembukaan masing-masing.
-- BERNAMA-ANADOLU
Kata kunci
Berita terkini
- Garis Panduan LAE Diumum Hujung Tahun Ini, Perkasa Kawal Selia Dan Tadbir Urus Industri - Loke
- RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Perluas Pemakaian Akta Di Luar Negara
- Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Didorong Aktiviti Pembelian Saham Murah
- Lim Guan Eng, Isteri Dan Phang Gagal Batalkan Pertuduhan, Perbicaraan Diteruskan
- Agong Kurnia Sumbangan RM500,000 Kepada Mangsa Kebakaran Sabah