RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Perluas Pemakaian Akta Di Luar Negara
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) memperluas pemakaian akta itu bagi kesalahan yang dilakukan di luar negara oleh individu yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Menurut naskhah RUU itu yang dipaparkan di portal Parlimen hari ini, pindaan seksyen 3 akta berkenaan menjadikan kesalahan yang dilakukan di luar wilayah boleh disabitkan di bawah akta itu jika dilakukan terhadap kanak-kanak warganegara Malaysia atau pemastautin tetap Malaysia.
Pindaan itu juga menetapkan akta tersebut turut terpakai bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan oleh warganegara Malaysia atau pemastautin tetap Malaysia di luar negara.
“Penggantian seksyen 3 Akta 792 bertujuan untuk meluaskan pemakaian luar wilayah Akta 792 bagi kesalahan di bawah Akta 792 dan kesalahan yang dinyatakan dalam jadual sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, yang dilakukan di luar Malaysia, oleh seseorang pemastautin tetap Malaysia atau seseorang yang pemastautinan lazimnya di Malaysia terhadap mana-mana kanak-kanak.
“… dan oleh mana-mana orang terhadap kanak-kanak yang merupakan seorang warganegara Malaysia atau seorang pemastautin tetap Malaysia atau yang pemastautinan lazimnya di Malaysia,” menurut RUU itu.
RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
Beliau memaklumkan bahawa bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan kali ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Trend Kerugian Penipuan Dalam Talian Melonjak Dalam Tempoh Tiga Tahun - KDN
- Forum Perdagangan Dan Pelaburan BRI 2026 Buka Tirai Di Beijing
- Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Disokong Aktiviti Belian Saham Harga Rendah
- Siri Remaja NJDP MGA 100PLUS Jadi Landasan Utama Cungkil Bakat Baharu Golf
- UPKK, Ithbat KAFA Pratahfiz Tahun 2026 Dilaksana Bermula 29 Jun Ini - KP Jakim