Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah, Dipengaruhi Penurunan Harga Minyak Mentah
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa susulan penurunan harga minyak mentah, kata pedagang.
Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata sentimen pasaran terjejas susulan jangkaan terhadap perjanjian Amerika Syarikat dan Iran untuk meredakan ketegangan di Asia Barat, yang boleh membawa kepada penyambungan semula aliran minyak melalui Selat Hormuz.
Ketika laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent susut 0.42 peratus kepada US$77.57 setong.
“Kontrak niaga hadapan MSM turut dipengaruhi oleh penyusutan harga minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT).
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,600 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,750 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, kontrak bagi serahan Julai 2026 turun RM10 kepada RM4,600 satu tan, Ogos 2026 berkurangan RM13 kepada RM4,628 satu tan, manakala September 2026 menguncup RM14 kepada RM4,658 satu tan.
Oktober 2026 turun RM17 kepada RM4,684 satu tan, November 2026 susut RM23 kepada RM4,706 satu tan dan Disember 2026 kurang RM21 kepada RM4,733 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 81,314 lot daripada 70,111 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka naik kepada 289,866 kontrak daripada 287,720 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan turun RM20 kepada RM4,610 satu tan daripada RM4,630 satu tan semalam.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PM Lithuania Letak Jawatan, Cetus Pembentukan Kerajaan Baharu
- Pelajar Wanita Warga Asing Ditemukan Mati Di Kondominium, Polis Tahan Seorang Lelaki
- TLFP Sasar Bantu 15,000 Lagi Individu Susulan Sumbangan Trak Logistik Dari Jepun
- Malaysia Terbuka Perkukuh Kerjasama Strategik Ekonomi Dengan UAE – MITI
- 1,021 Rakyat Palestin Terkorban Sejak Gencatan Senjata Gaza