23/06/2026 10:15 PM

Dua Warga Emas Didakwa Cedera Di Pusat Jagaan, Polis Buka Kertas Siasatan

SUNGAI PETANI, 23 Jun (Bernama) -- Polis membuka dua kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan kecederaan membabitkan dua warga emas yang ditempatkan di sebuah pusat jagaan warga emas, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada keluarga warga emas berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

"Satu kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, manakala satu lagi masih dalam siasatan.

"Polis sedang mengumpul keterangan dan bukti bagi mengenal pasti kejadian sebenar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, ahli keluarga seorang warga emas terbabit yang enggan dikenali mendakwa, ibunya berusia 76 tahun dihantar ke pusat jagaan tersebut sejak Disember tahun lepas.

Difahamkan, sehari kemudian pihak pengurusan memaklumkan bahawa wanita yang menghidap demensia itu terjatuh dari katil.

Mangsa juga didakwa mempunyai kesan lebam selain terdapat kecederaan pada badan, malah ahli keluarganya dikatakan pernah melihat kaki dan tangan mangsa diikat pada palang katil besi sewaktu datang melawat.

Sementara itu, seorang lagi warga emas lelaki berusia 69 tahun yang ditempatkan di pusat jagaan sama sejak September 2024, didakwa mengalami nasib serupa.

Dalam perkembangan sama, pengusaha pusat jagaan tersebut bagaimanapun menafikan berlakunya penderaan terhadap penghuni di situ.

Pengusaha pusat jagaan itu berkata pihaknya akan memaklumkan kepada ahli keluarga dengan segera sekiranya berlaku kecederaan, manakala berhubung dakwaan mangsa diikat, tindakan itu untuk keselamatan dan hanya dilakukan selepas mendapat persetujuan daripada keluarga.

-- BERNAMA