AEON Credit Sasar Pertumbuhan Pinjaman 8.0 Peratus Bagi Tahun Kewangan 2027
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- AEON Credit Service (M) Bhd menyasarkan pertumbuhan pinjaman sekitar lapan peratus bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari, 2027, dipacu oleh pengembangan hasil, kualiti aset yang stabil dan kecekapan operasi yang dipertingkat.
Pengarah Urusan Daisuke Maeda berkata sasaran itu mencerminkan perbelanjaan pengguna yang dijangka menyederhana dan potensi dalam tingkah laku pembayaran balik pelanggan yang berubah hingga mendorong syarikat mengambil pendekatan lebih selektif dalam penilaian kredit.
"Walaupun berdepan prospek yang berhati-hati, syarikat tetap yakin untuk mengembangkan perniagaan pembiayaan motosikalnya, disokong oleh kualiti aset yang stabil dan permintaan yang semakin meningkat dalam segmen-segmen terpilih.
"Kami mendapati pembiayaan untuk motosikal dan pinjaman tidak berbayar kami agak stabil, jadi kami akan terus mengejar pertumbuhan dan meluaskan bahagian pasaran," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat yang ke-29.
Maeda berkata syarikat itu sedang meluaskan kedudukannya dalam segmen pinjaman motosikal berkuasa tinggi yang melibatkan motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 250cc kerana mendapati permintaan untuk segmen itu meningkat seiring dengan pendapatan pengguna yang bertambah.
"Jualan dalam segmen itu telah meningkat hampir dua kali ganda dan syarikat juga memanfaatkan tawaran kad kredit berkaitan motosikal untuk melengkapi perniagaan sewa belinya," kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi AEON Credit Ng Eng Kiat berkata tajaan syarikat terhadap pelumba Moto3 Malaysia, Muhammad Hakim Danish Ramli adalah selaras dengan kedudukannya yang kukuh dalam segmen pembiayaan motosikal serta komitmennya untuk menyokong bakat tempatan.
"Kami sangat gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada kejayaan beliau dan akan terus menilai peluang untuk menyokong pelumba muda Malaysia itu pada masa hadapan," kata beliau.
AEON Credit dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menyasarkan pulangan atas ekuiti sekitar 12 peratus di samping mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan, tidak termasuk kerugian rosot nilai di bawah paras 30 peratus.
Sejajar dengan komitmennya untuk memberikan pulangan yang konsisten dan bermakna kepada pemegang saham, syarikat itu menyatakan para pemegang saham meluluskan cadangan pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 15.75 sen sesaham, berserta dividen khas sebanyak 2.00 sen sesaham.
“Dividen khas itu diumumkan sebagai pengiktirafan sempena ulang tahun ke-30 kumpulan yang akan datang, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam pertumbuhan dan pembangunan berterusannya,” menurut kenyataan itu.
Bersama dengan dividen interim sebanyak 13.00 sen sesaham yang dibayar pada November 2025, ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen sebanyak 30.75 sen sesaham, yang berjumlah RM157.01 juta bagi tahun kewangan 2026 dan mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 40.7 peratus.
Kesemua resolusi yang disenaraikan dalam notis AGM bertarikh 22 Mei, 2026 dan dibentangkan pada AGM ke-29 telah diluluskan oleh pemegang saham syarikat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Kes Saman Pelaburan: QEW Group Dakwa 111 Pelabur Sedar Tahap Risiko
- Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS, Mata Wang Negara ASEAN Menjelang Data PMI AS
- 13 Lelaki Didakwa Merusuh Di Jinjang Utara
- Bursa Malaysia Catat Penurunan Di Tengah-tengah Ketidaktentuan Berterusan
- RUU Penjara (Pindaan) 2026 Cadang Penggunaan Peranti Pengawasan Elektronik