HSS sasar Pertumbuhan Di Asia Tenggara Didorong Permintaan Meningkat Untuk Produk Bakeri Halal
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pengeluar produk bakeri, HSS Holdings Bhd merancang untuk memperkukuh kedudukannya di Asia Tenggara, memanfaatkan permintaan meningkat untuk produk halal selepas penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pengarah Pengeluarannya, Joshua Lau Ern Tien berkata Asia Tenggara kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama kumpulan, didorong oleh peningkatan penerimaan terhadap produk halal Malaysia, antara kekuatan utama dan tarikan jualan syarikat.
“Produk tradisional kami seperti kek dan biskut turut mendapat sambutan meluas di pasaran termasuk Indonesia, Filipina, Thailand dan Dubai,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian syarikat itu hari ini.
Pada 9 pagi ini, HSS yang mula disenaraikan dibuka mendatar pada 18 sen, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan 16.23 juta saham diniagakan.
Syarikat menyasarkan untuk meraih RM13.5 juta daripada IPO, dengan RM2.57 juta untuk perbelanjaan modal bagi kemudahan pembuatan kumpulan; RM4.50 juta untuk membayar balik pinjaman bank; RM2.93 juta untuk modal kerja dan RM3.50 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Lau berkata hasilnya akan membolehkan HSS meningkatkan keupayaan pembuatannya, melabur dalam automasi dan menambah baik operasi, memperkukuh jenamanya dan meningkatkan kecekapan secara keseluruhan.
“Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar kami. Kami merancang untuk menambah lebih banyak peruncit tempatan selain memperluas ke pasaran baharu di dalam dan luar Malaysia,” katanya.
Rangkaian syarikat itu terdiri daripada 330 pemborong, 117 peruncit dan lima pengedar di Malaysia, Singapura, Indonesia, Australia, Kemboja dan Korea Selatan.
Selepas penyenaraian, HSS akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM90 juta berdasarkan harga IPO sebanyak 18 sen sesaham, dengan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 500 juta saham.
M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO tersebut.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Penunggang Motosikal Positif Dadah Cedera Rempuh Pintu Kaca Hospital
- TERAJU Lulus Hampir RM134 Juta Pembiayaan Kepada 143 Syarikat Bumiputera Wilayah Utara
- FAM Anjur Program FIFA Perkasa Pengurusan, Pentadbiran Bola Sepak Wanita
- PERDA Tawar Tapak Untuk Kerajaan Negeri Anjur Pesta Pulau Pinang
- PRN Johor: Maszlee Sahut Pelawaan Debat Dengan Onn Hafiz