23/06/2026 08:06 AM

Babak Kedua Perlawanan Piala Dunia Perancis-Iraq Ditangguhkan Akibat Cuaca Buruk

WASHINGTON, 23 Jun (Bernama-Anadolu) -- Perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Iraq terpaksa ditangguhkan sebaik tamat babak pertama pada Isnin susulan cuaca buruk di Philadelphia, Pennsylvania, lapor Anadolu Ajansi.

Pihak pengurusan stadium mengeluarkan amaran mengenai ribut petir ketika waktu rehat separuh masa, menyebabkan permulaan babak kedua ditunda demi keselamatan pemain, pegawai dan penonton.

Menerusi pengumuman yang dibuat melalui sistem siar raya, penonton diarahkan meninggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan berlindung di kawasan berbumbung di dalam stadium.

"Sila tinggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan berlindung di dalam stadium mengikut arahan petugas stadium. Ribut petir kuat sedang menghampiri," menurut mesej yang dipaparkan pada papan skor stadium.

Ribuan penyokong yang memenuhi stadium dilihat beredar dari tempat duduk masing-masing dan menuju ke kawasan berbumbung, kebanyakannya memakai baju hujan.

Ketika perlawanan dihentikan, Perancis mendahului 1-0 menerusi jaringan penyerang sensasi Kylian Mbappe pada minit ke-14.

-- BERNAMA-ANADOLU