Kerajaan Persekutuan Yakin Sarawak Mampu Urus Pelabuhan Bintulu - PM Anwar
KUCHING, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan yakin Kerajaan Sarawak mempunyai kepakaran serta keupayaan untuk mengurus dan mengendalikan Pelabuhan Bintulu susulan penukaran status pelabuhan itu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelabuhan berkenaan merupakan antara pelabuhan penting negara, khususnya bagi industri gas asli cecair (LNG), selain memainkan peranan strategik di rantau Asia.
Beliau berkata, Sarawak kini memiliki keupayaan mencukupi untuk mentadbir dan mengendalikan pelabuhan berkenaan, termasuk tenaga pakar serta cendekiawan berpengalaman dalam bidang berkaitan.
“Penyerahan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Persekutuan ini juga menjadi petanda keyakinan serta lambang persahabatan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2026 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri diadakan di Bintulu, hari ini.
Majlis penyerahan cek penukaran status itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pada 20 Mei lepas, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak dengan nilai pampasan RM1.8 bilion.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mahu syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bekerjasama sebagai satu pasukan dalam usaha membangunkan negara.
Beliau berkata bagi mencapai kesepakatan, kedua-dua pihak perlu saling menghormati serta mengiktiraf hak dan undang-undang, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
“Saya dan Abang Johari menegaskan kepada Petronas dan Petros supaya memberi tumpuan kepada kepentingan bersama serta menjalinkan kerjasama erat. Kita mahukan situasi menang-menang kerana peluang yang ada sangat besar.
“Kita juga mahu perkara ini diselesaikan secara adil, telus dan saksama.
“Saya berharap dalam tempoh terdekat, kita dapat memuktamadkan persetujuan antara Petronas dan Petros,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- MUDA Pertaruh Tiga Lagi Calon Pada PRN Johor
- Rundingan AS-Iran Tumpu Kepada Pelaksanaan Peruntukan Memorandum - Kementerian Luar Iran
- Op Cantas Bersepadu: 349 Individu Termasuk Orang Dikehendaki Diberkas Di Selangor
- Polis Tahan Lima Lelaki Bantu Siasatan Kes Kehilangan Dua Remaja Perempuan
- Kerajaan Persekutuan Yakin Sarawak Mampu Urus Pelabuhan Bintulu - PM Anwar