RIUH Pi HAWANA Himpun Pengunjung, Semarakkan Kreativiti Dan Perpaduan
BUTTERWORTH, 21 Jun (Bernama) -- Karnival RIUH Pi HAWANA 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini melabuhkan tirainya malam ini dengan kejayaan menghimpunkan ribuan pengunjung menerusi pelbagai aktiviti berteraskan seni, budaya, kreativiti, keusahawanan dan apresiasi media.
Program yang merupakan antara acara kemuncak sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi platform RIUH di bawah MyCreative Ventures.
Sejak membuka tirainya pada Jumaat, karnival berkenaan menawarkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan artis tempatan, pameran industri kreatif, aktiviti interaktif, forum, bengkel, jualan makanan dan minuman, produk gaya hidup serta ruang khas untuk usahawan dan penggiat industri kreatif tempatan mempromosikan hasil karya mereka.
Karnival itu turut menjadi medan pertemuan pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menikmati suasana santai hujung minggu sambil mengikuti pelbagai program yang disediakan
Seorang pengunjung Nurul Aida Shahnolhadi, 20, berkata dia tertarik dengan suasana karnival yang santai, kemudahan serta pelbagai aktiviti yang boleh disertai pengunjung selain menu menarik dijual vendor.
"Saya datang bersama kakak dan rakan-rakan untuk meluangkan masa hujung minggu. Suasana memang selesa, banyak tempat untuk berehat dan pelbagai aktiviti yang boleh disertai. Selain menonton persembahan artis, saya juga berpeluang melihat pelbagai produk kreatif dan makanan tempatan yang menarik," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Muhammad Irfan Azman, 25, berkata penganjuran program sedemikian wajar diteruskan kerana mampu menjadi platform memperkenalkan bakat tempatan selain menggalakkan masyarakat menghargai hasil seni dan budaya negara.
Menurutnya gabungan konsep RIUH dan HAWANA memberi nilai tambah kerana bukan sahaja menampilkan hiburan, malah meningkatkan kesedaran mengenai peranan media dalam masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Zainol Haqim Zainol Rashid berkata RIUH Pi HAWANA bukan sekadar platform hiburan, tetapi juga menjadi ruang untuk sesi dialog, penceritaan dan perkongsian ilmu yang menyumbang kepada pemerkasaan bidang kewartawanan serta industri kreatif negara.
Beliau berkata penganjuran itu bertepatan dengan tema HAWANA tahun ini dan mencerminkan peranan media serta industri kreatif yang saling melengkapi dalam membentuk masyarakat berinformasi dan berbudaya.
“RIUH Pi HAWANA menggabungkan elemen seni kreatif, sesi dialog dan pelbagai aktiviti yang boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat. Ia juga membuka peluang kepada penggiat industri kreatif memperluas jaringan, mempromosikan karya dan menjana pendapatan," katanya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini berkata penganjuran RIUH Pi HAWANA sejajar usaha kerajaan memperkukuh ekosistem industri kreatif negara dan menyediakan platform kepada bakat dan produk tempatan untuk diketengahkan kepada masyarakat.
Beliau berkata program berkenaan turut memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan antara penggiat industri kreatif, pengamal media dan orang ramai menerusi pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif dan mesra keluarga.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan pentas membabitkan 18 artis dan kumpulan muzik tempatan, termasuk kumpulan popular Exists, Bunkface dan Masdo yang menjadi antara tarikan utama karnival berkenaan.
Turut memeriahkan acara ialah Chelsea Ng, Sakura Band, Fugo, Saint Kylo, Lucidrari dan Budak Nakal Hujung Simpang yang masing-masing menampilkan persembahan unik mewakili kepelbagaian landskap muzik tempatan.
Selain konsert, karnival itu menawarkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan muzik, aktiviti seni dan budaya, jualan makanan serta produk kreatif tempatan selain program interaktif untuk seisi keluarga.
Karnival RIUH Pi HAWANA menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman selain menawarkan bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai meneroka pelbagai aktiviti kreatif.
-- BERNAMA
Berita terkini
- MUDA Pertaruh Tiga Lagi Calon Pada PRN Johor
- Rundingan AS-Iran Tumpu Kepada Pelaksanaan Peruntukan Memorandum - Kementerian Luar Iran
- Op Cantas Bersepadu: 349 Individu Termasuk Orang Dikehendaki Diberkas Di Selangor
- Polis Tahan Lima Lelaki Bantu Siasatan Kes Kehilangan Dua Remaja Perempuan
- Kerajaan Persekutuan Yakin Sarawak Mampu Urus Pelabuhan Bintulu - PM AnwarÂ