Rafiq Julang Gelaran Terbuka Campuran KLIO26, Lengkapkan Hatrik Kejuaraan Bulan Ini
PETALING JAYA, 21 Jun (Bernama) -- Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail terus membuktikan keunggulannya apabila merangkul gelaran juara kategori terbuka campuran buat julung kali pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur MILO 2026 (KLIO26), hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, pemain berusia 29 tahun itu muncul juara selepas mencatat keseluruhan 2,020 jatuhan pin menerusi lapan permainan, menyaksikannya mengetepikan cabaran 39 peserta lain termasuk beberapa pemain terbaik negara.
Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Hasnul Azam menamatkan saingan di tempat kedua dengan 1,918 jatuhan pin, manakala Megat Zaqrul Haiqal melengkapkan kedudukan tiga terbaik selepas mengumpul 1,915 jatuhan pin.
Kejayaan itu melengkapkan hatrik kejuaraan Rafiq sepanjang bulan ini selepas turut menjuarai Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura, sekali gus meneruskan rentak cemerlangnya menjelang baki saingan musim ini.
"Gembira sebab tiga kejohanan bulan ini, tiga-tiga saya menang. Ini antara pencapaian paling manis dalam karier saya," katanya ketika ditemui selepas kejohanan.
Sebagai juara, Rafiq membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000.
Dalam pada itu, beliau mengakui kemenangan tersebut hadir tepat pada masanya dan sedikit sebanyak menjadi pengubat duka selepas kediamannya dipecah masuk baru-baru ini sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM60,000.
"Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki dan pengganti kepada apa yang telah hilang. Saya harap ia menjadi permulaan kepada perkara yang lebih baik selepas ini," katanya.
Kejohanan itu dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur (KLTBA).
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pemerkasaan Pelancongan Komuniti, Produk Tempatan Tingkat Ekonomi DUN Rim - ADUN
- Anwar Ucap Tahniah Kepada Hakim Danish Muncul Juara GP Czech
- Pengguna Diesel Sambut Baik Penurunan Harga Kepada RM2.10 Seliter
- Pempengaruh Hilang Ditemukan Lemah Dalam Tandas Di Taman Botanikal
- 57 Motosikal Disita, 306 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Bersepadu