21/06/2026 12:04 PM

Bukan Sekadar Larian, GLM Jadikan Jalan Raya "Kanvas" Seni Bergerak 

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

PUTRAJAYA, 21 Jun (Bernama) -- Umumnya, individu yang menjadikan larian sebagai hobi hanya memberi tumpuan kepada aspek jarak yang berjaya ditamatkan atau catatan masa peribadi, namun Geng Lukis Malam (GLM) menambah daya tarikan hobi itu dengan menukar jejak yang ditinggalkan pelari sebagai lukisan. 

Kapten GLM Muhammad Syafiq Salleh, 39, berkata mereka menggunakan teknologi penjejakan GPS bagi menghasilkan lukisan berskala besar dengan trek yang dilalui sebagai “kanvas bergerak”.

“Kebanyakan orang berlari untuk kesihatan atau prestasi, tetapi kami cuba tambah satu elemen lain iaitu kreativiti. Peserta bukan sahaja berlari, tetapi mereka juga menjadi sebahagian daripada proses menghasilkan lukisan.


“Lukisan terbentuk daripada ribuan langkah kaki peserta yang mengikuti trek laluan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Antara bentuk yang GLM hasilkan ialah bunga raya, ayam goreng dan watak animasi Agumon dan Grand Master Oogway,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Dikenali sebagai seni GPS atau Strava, kegiatan ini melibatkan penghasilan bentuk atau corak di atas peta digital menggunakan rekod pengesanan GPS dengan pelari merancang laluan mengikuti jalan tertentu agar dapat membentuk imej yang diingini apabila aktiviti itu direkodkan.

Menurut Muhammad Syafiq, pihaknya mempromosikan bentuk lukisan yang akan dihasilkan setiap minggu menerusi platform media sosial @genglukismalam bagi membolehkan orang ramai menyertainya.


Kapten Geng Lukis Malam Muhammad Syafiq Salleh

"Pada awalnya, kami buat aktiviti ini antara kenalan terdekat iaitu dalam 35 orang sekitar Januari tahun lepas tetapi pada September kami mula buka kepada orang awam dan pernah dapat sehingga lebih 700 penyertaan.

"Larian ini diadakan setiap Rabu bagi jarak bawah 10 kilometer manakala larian melebihi 10 km dianjurkan sekali sebulan pada hari Jumaat," katanya, menambah kebanyakan peserta terdiri daripada individu berusia antara 20 hingga 40-an.

Beliau berkata setiap lukisan memerlukan perancangan laluan yang teliti sebelum diterjemahkan ke jalan raya, dengan peserta perlu mengikuti trek yang ditetapkan bagi memastikan bentuk yang dihasilkan dapat dilihat dengan jelas menerusi aplikasi seperti Strava.


“Kami bermula dengan bentuk agak simple, kemudian berkembang apabila ada orang yang provide lukisan pada kami, dan ada juga lukisan direka oleh ahli kami bernama Ikram. Imaginasi dia agak luar biasa sebab bila tengok peta, dia boleh imagine what kind of like lukisan boleh dibuat,” katanya, menambah setiap lukisan hanya mengambil masa kurang sehari untuk disiapkan.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi itu berkata walaupun hasil lukisan GPS kelihatan ringkas dan kemas apabila dipaparkan di skrin telefon, proses menghasilkan setiap karya sebenar bukanlah sesuatu yang mudah terutama apabila melibatkan lebih 100 peserta setiap kali larian.  

Justeru katanya aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan memandangkan sesi dijalankan pada waktu malam dan melibatkan laluan awam yang dikongsi dengan pengguna lain.


“Kadang-kadang peserta terpisah jauh daripada kumpulan utama dan ada yang tersalah laluan. Bila itu berlaku, bentuk lukisan mungkin sedikit terjejas, tetapi biasanya kami akan cuba membetulkannya sepanjang perjalanan.

“Setiap peserta diberikan taklimat keselamatan sebelum larian bermula termasuk peringatan supaya memakai lampu keselamatan, membawa bekalan air sendiri dan sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling,” katanya.


Seorang peserta GLM Muhammad Shahril Haikal Mohamad Shaipuldin, 26, berkata beliau kerap mengikuti larian itu kerana keunikan komuniti dengan struktur larian yang fleksibel dan tidak memaksa peserta berlari mengikut kelajuan ditetapkan.

“GLM memang sesuai sangat untuk beginner sebab tak ada pressure langsung macam kelab lain. Akan ada kumpulan ‘bypasser’ dan ‘sweeper’ yang membantu memastikan semua peserta dapat mengikut laluan mengikut kemampuan masing-masing, sama ada pace (kelajuan) 6,  7 atau 9. Ia lebih santai, yang penting lukisan tu siap dan cantik,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Khairi Mohd Nasir, 25, berkata penyertaannya dalam GLM membantu meningkatkan tahap kecergasan dan rentak lariannya.

-- BERNAMA