Anak Ikut Jejak Langkah Bapa, Pilih Kerjaya Bidang Penerbangan
Oleh Nurhafizah Tan
SEPANG, 21 Jun (Bernama) -- Dia terdedah kepada dunia penerbangan sejak kecil, justeru, bukan sesuatu yang menghairankan jika Balqis Amanda Mat Irwani menuruti jejak langkah bapanya menjadi juruterbang.
Menurut wanita muda berusia 25 tahun ini, dia mencipta pelbagai kenangan bersama-sama dengan ayahnya Kapten Mat Irwani Mat Nawawi, 51, yang bertugas di Malaysia Airlines, antaranya peluang berada di dalam kokpit pesawat ketika berusia tujuh tahun.
“Saya ingat lagi saya tunjukkan kerusi juruterbang dan bayangkan diri saya duduk di situ suatu hari nanti,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, bersempena dengan Hari Bapa di Malaysia Airlines Crew Reporting Centre di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.
Hampir dua dekad berlalu, anak sulung daripada dua beradik itu kian menghampiri impiannya dan sedang menjalani latihan sebagai kadet juruterbang di syarikat sama.
“Sejak kecil saya memang banyak ikut keluarga mengembara kerana kerja ayah. Bila dah besar dan perlu memilih kerjaya untuk 30 atau 40 tahun akan datang, saya rasa ini adalah pekerjaan yang saya mahu lakukan,” katanya.
Walaupun berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang lain selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia termasuk menerima biasiswa dalam bidang kejuruteraan kimia, gadis itu tetap memilih laluan yang disifatkan cukup dekat dengan dirinya.
Perkara itu pada masa sama sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kepada Mat Irwani.
Sebagai juruterbang berpengalaman, beliau berkata cabaran profesion itu bukan sahaja memerlukan pengetahuan teknikal, tetapi turut menuntut ketahanan mental untuk berdepan tekanan.
“Saya tahu dia boleh buat. Dari segi akademik memang tidak ada masalah. Tetapi saya tidak tahu sama ada dia boleh mengendalikan tekanan, simulator dan latihan yang perlu dilalui seorang juruterbang,” katanya.
Beliau berkata kebimbangan itu mendorongnya membantu Balqis Amanda membuat persediaan sebelum menjalani latihan, termasuk menguji kemampuan gadis itu mengawal tekanan ketika sesi ulang kaji di rumah.
“Sokongan terhadap pilihan anak adalah sebahagian daripada tanggungjawab saya sebagai bapa untuk terus membimbingnya sepanjang perjalanan menjadi juruterbang. Saya mahu dia jadi lebih baik daripada saya,” katanya.
Bagi jurutera penyelenggaraan pesawat di MAB Engineering Services, Lee Yong Qiang, 33, keputusan untuk menceburi kerjaya yang sama dengan bapanya, Lee Ah Teck, 62, di syarikat sama bukan sekadar menuruti jejak langkah si ayah, tetapi juga kerana nilai-nilai yang dibawa, iaitu disiplin, dedikasi serta kebertanggungjawaban yang tinggi terhadap kerja.
“Ayah saya bertugas sebagai jurutera penyelenggaraan di barisan hadapan, merupakan seorang yang amat berdedikasi namun mampu mengimbangi tuntutan kerja dan juga keluarga, membuatkan saya berasa begitu kagum terhadapnya.
“Melihat beliau bekerja dengan penuh tabah dan pada masa sama rendah diri, memberikan saya inspirasi untuk mengikut jejaknya, dan kini saya bangga dapat memainkan peranan yang sama dengan beliau dulu,” ujarnya.
Yong Qiang juga berkata dia kini lebih menghargai tugas ayahnya, terutama dari segi tanggungjawab memastikan setiap pesawat berada dalam keadaan benar-benar selamat sebelum berlepas.
Bagi Ah Teck, selaku bapa, tugasnya bukan sekadar memberi bimbingan kepada anaknya dalam kerjaya tetapi juga sentiasa terlibat dalam tempoh anaknya membesar.
Justeru, selepas bertahun-tahun bekerja secara syif selaku jurutera penyelenggaraan, Ah Teck mengambil keputusan bertukar ke jabatan jaminan kualiti semasa Yong Qiang berusia 12 tahun.
“Saya mahu luangkan lebih banyak masa dengan keluarga,” katanya yang kini bertugas sebagai pembimbing teknikal.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Pemerkasaan Pelancongan Komuniti, Produk Tempatan Tingkat Ekonomi DUN Rim - ADUN
- Anwar Ucap Tahniah Kepada Hakim Danish Muncul Juara GP Czech
- Pengguna Diesel Sambut Baik Penurunan Harga Kepada RM2.10 Seliter
- Pempengaruh Hilang Ditemukan Lemah Dalam Tandas Di Taman Botanikal
- 57 Motosikal Disita, 306 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Bersepadu