TORe Tawar Peluang Kedua Kepada Pesakit Bariatrik
Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pertambahan semula berat badan selepas pembedahan bariatrik bukan semestinya tanda kegagalan pesakit, sebaliknya merupakan sebahagian daripada cabaran jangka panjang yang boleh berlaku selepas seseorang mencapai berat terendah.
Pakar bedah Unit Pembedahan Upper GI, Bariatrik dan Metabolik Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) Dr Loo Guo Hou berkata peningkatan semula sedikit berat badan selepas pembedahan bariatrik adalah perkara lazim dan dijangka, namun perhatian klinikal perlu diberikan apabila pertambahan itu berlaku secara ketara.
Beliau berkata walaupun tiada ukuran standard bagi menentukan pertambahan semula berat badan selepas bariatrik, kebanyakan kajian menunjukkan kira-kira satu daripada lima pesakit atau sekitar 20 hingga 24 peratus mengalami kenaikan berat badan melebihi 15 peratus dalam tempoh lima tahun selepas pembedahan pintasan gastrik atau sleeve gastrectomy.
“Namun dalam tempoh susulan jangka panjang selama 12 tahun, sekitar 93 peratus pesakit masih mengekalkan sekurang-kurangnya 10 peratus penurunan berat badan, dan hanya satu peratus kembali sepenuhnya kepada berat asal.
“Jadi pembedahan bariatrik kekal sangat berkesan, manakala pertambahan semula berat badan adalah cabaran yang boleh diuruskan, bukan tanda pembedahan itu gagal,” katanya kepada Bernama.
Dr Loo berkata beban emosi yang dialami pesakit sering kali lebih berat daripada beban fizikal apabila ramai hadir dengan perasaan kecewa, malu dan menyalahkan diri sendiri seolah-olah mereka telah mensia-siakan satu pembedahan besar.
Beliau berkata pertambahan semula berat badan selalunya berpunca daripada perubahan anatomi dan fisiologi badan, antaranya bukaan perut yang meregang dan bukannya semata-mata disebabkan kelemahan peribadi atau kekurangan disiplin.
Keadaan itu antara cabaran yang cuba ditangani menerusi prosedur Transoral Outlet Reduction (TORe), teknik endoskopik yang diperkenalkan di HCTM UKM sebagai pilihan rawatan susulan bagi pesakit bariatrik terpilih.
Dr Loo berkata TORe dilakukan melalui mulut menggunakan peranti jahitan khas bagi mengetatkan semula bukaan perut yang telah meregang, sekali gus mengelakkan hirisan luaran atau parut baharu.
Beliau berkata prosedur itu boleh dianggap sebagai peluang kedua kerana dapat mengetatkan semula bukaan yang mengawal aliran makanan dari dalam, namun pada masa sama tidak boleh dianggap sebagai jalan pintas untuk kurus.
“TORe tidak mencairkan lemak dan tidak menurunkan berat badan dengan sendirinya, sebaliknya hanya mengembalikan rasa kenyang dan kawalan supaya pemakanan sihat dan senaman dapat memberi kesan semula.
“Ibarat mengetatkan tali pinggang yang longgar, prosedur ini membantu anda makan kurang tetapi anda masih perlu makan dengan betul,” katanya.
Dr Loo juga menegaskan TORe bukan rawatan menurunkan berat badan peringkat pertama dan tidak sesuai untuk semua individu, sebaliknya dikhususkan kepada pesakit yang pernah menjalani pembedahan bariatrik, terutama pintasan gastrik, serta mengalami pertambahan semula berat badan berkaitan bukaan perut yang meregang atau sindrom dumping.
Beliau berkata sindrom dumping berlaku apabila makanan mengalir terlalu cepat ke dalam usus sehingga menyebabkan simptom seperti kekejangan, jantung berdebar, berpeluh, pening dan cirit-birit selepas makan.
Dr Loo berkata perkara paling penting selepas menjalani TORe ialah pesakit melihat prosedur itu sebagai permulaan semula, bukan penyelesaian muktamad, dengan membina tabiat pemakanan berstruktur termasuk makan secara perlahan, mengutamakan protein, mengawal saiz hidangan serta mengelakkan minuman manis berkalori tinggi.
Beliau berkata aktiviti fizikal yang konsisten, sokongan emosi dan pemantauan susulan bersama pasukan bariatrik, pakar pemakanan serta pakar psikologi jika perlu, juga penting bagi memastikan penurunan berat badan dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
“Penurunan berat badan kekal bergantung pada perubahan gaya hidup jangka panjang; TORe hanya memberi pesakit peluang dan ruang yang lebih baik untuk berjaya,” katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Pelantikan Nallini Beri Imej, Keyakinan Kepada Majlis Media Malaysia - PM AnwarÂ
- Agong Berkenan Kurnia Pingat Kepada 124 Penerima Sempena Hari Keputeraan Rasmi
- DAP Umum Empat Calon Galas Cabaran Di PRN Johor
- PRN Johor, Negeri sembilan Medan Uji Inisiatif Pilihan Raya MMC
- Bernama-TATOLI Jalin Kerjasama Perkongsian Berita, Latihan Kewartawanan