20/06/2026 10:38 AM

e-Invois Perkukuh Pematuhan Cukai: 52,540 Pembayar Cukai Tampil Laporkan Pendapatan RM4.07 Bilion

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan e-Invois berjaya memperkukuh pematuhan cukai dengan 52,540 pembayar cukai tampil melaporkan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM4.07 bilion, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejak pelaksanaan e-Invois bermula 1 Ogos 2024, lebih 230,000 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois, yang melibatkan pengeluaran 1.505 bilion e-Invois secara keseluruhan.

“Perkembangan ini menunjukkan sokongan serta kesediaan pembayar cukai untuk memperkukuh pendigitalan dalam operasi perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Selaras dengan prinsip ketelusan dalam sistem percukaian negara, LHDN memaklumkan semua pembayar cukai perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang melebihi RM10,000 bermula 1 Jan 2026.

Bagi tujuan tersebut, pembeli perlu mengemukakan maklumat nombor pengenalan diri atau nombor pengenalan cukai (TIN) kepada penjual, bagi membolehkan e-Invois dapat dikeluarkan dengan tepat.

Menurut kenyataan LHDN, pihaknya telah membangunkan model analitik untuk mengenal pasti anomali, transaksi mencurigakan serta corak tingkah laku luar kebiasaan bagi tujuan penguatkuasaan. 

“Inisiatif ini terbukti berkesan di mana LHDN berjaya melaksanakan penilaian risiko yang lebih efektif, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan cukai secara sukarela dan menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil negara,” menurut kenyataan itu. 

Berdasarkan analisis tersebut, LHDN mengesan pembayar cukai yang menunjukkan corak transaksi kewangan aktif tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk terdapat transaksi pembelian bernilai tinggi melebihi RM100,000, pembelian kenderaan dan aset serta aktiviti transaksi dalam talian yang aktif tanpa rekod pelaporan pendapatan yang sewajarnya.

LHDN kekal komited untuk mempergiat pendekatan “nudging” dan pematuhan berasaskan data e-Invois bagi meningkatkan kesedaran serta memberi peluang kepada pembayar cukai untuk membuat pembetulan dan mengemukakan maklumat cukai secara sukarela sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Melalui pendekatan ini, sebanyak 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi pendapatan tahun taksiran ke belakang, dengan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM4.07 bilion dan cukai kena dibayar berjumlah RM1.009 bilion,” menurut kenyataan LHDN.

LHDN memaklumkan hasil pemantauan berterusan yang dijalankan mendapati masih terdapat pembayar cukai yang tidak mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois seperti yang ditetapkan.

Antara kesilapan yang dilakukan oleh pembayar cukai yang dikenal pasti ialah pengeluaran e-Invois secara tidak konsisten, termasuk situasi e-Invois hanya dikeluarkan bagi sebahagian transaksi dan gagal mengeluarkan e-Invois bagi transaksi berikutnya.

Kesilapan lain yang dilakukan ialah penghantaran e-Invois disatukan selepas tempoh masa yang dibenarkan dan kegagalan mengeluarkan e-Invois bagi transaksi jualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang melebihi RM10,000 mulai 1 Jan 2026.

Sehubungan dengan itu, LHDN menasihatkan semua pembayar cukai agar memastikan pengeluaran e-Invois dilaksanakan sepenuhnya mengikut ketetapan yang berkuat kuasa.

Bagi pembayar cukai yang masih belum mengeluarkan e-Invois bagi transaksi terdahulu, tindakan pembetulan secara sukarela hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera.

“Tindakan penguatkuasaan dan perundangan akan diambil bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi serta menjamin keadilan dalam sistem percukaian negara sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA