PRN Johor: PH Dijangka Umum Calon Isnin Ini - Dr Zaliha
JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Isnin ini, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata pengumuman itu dijangka dibuat pada majlis yang melibatkan pimpinan tertinggi parti termasuk Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pengumuman calon ini telah disepakati oleh PH negeri dan juga pusat. Insya-Allah kita akan adakan di sebelah utara Johor, kemungkinan di Bukit Gambir, Tangkak,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Dr Zaliha berkata pemilihan lokasi itu bagi menyemarakkan gelombang sokongan rakyat yang semakin meningkat selepas beberapa siri program di zon utara termasuk di Bukit Naning yang menunjukkan respons sangat menggalakkan.
Selain itu, beliau berkata proses pemilihan calon melibatkan pandangan peringkat cabang bagi memastikan mereka dipilih benar-benar memahami keperluan masyarakat setempat dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
“Kita juga masukkan unsur (golongan) profesional, anak muda, wanita dan kepelbagaian kaum supaya ada keseimbangan dalam calon yang diketengahkan,” katanya.
Dr Zaliha berkata selain mewakili pelbagai kelompok masyarakat, calon yang dipilih juga perlu mempunyai kemampuan untuk menyumbang kepada matlamat lebih besar PH pada PRN itu.
Beliau berkata PH tidak memasuki gelanggang pilihan raya sekadar untuk menambah bilangan kerusi dimenangi sebelum ini, sebaliknya dengan sasaran membentuk kerajaan negeri.
PH akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PKR meletakkan calon di 20 kerusi, DAP (17) dan Amanah (19).
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai dengan penamaan calon pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pelbagai Inisiatif Untuk Pengamal Media Dipamer Sempena HAWANA 2026
- HAWANA Relevan Sebagai Platform Refleksi, Penghargaan Kepada Pengamal Media
- Banjir Di Kampar Jejas 69 Mangsa, Satu PPS Dibuka
- Ribut Di Bercham Akibatkan Kerosakan Besar Rumah Penduduk - Ahli Parlimen
- HAWANA 2026: PM Anwar Sampaikan Sumbangan Tabung Kasih Kepada Tiga Pengamal Media