Tengku Mahkota Kelantan Terima Menghadap Fahmi Fadzil
KOTA BHARU, 17 Jun (Bernama) -- Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil
Majlis berkenaan berlangsung di Istana Kota Lama di sini, dan bermula pada 5 petang, semalam.
Media Pejabat Sultan Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sesi berkenaan bertujuan menyembah maklum kepada baginda mengenai perkembangan terkini serta laporan berkaitan skop tugas Kementerian Komunikasi.
Antara perkara utama yang dipersembahkan termasuk isu-isu semasa dan gejala akaun palsu, yang semakin berleluasa dalam media sosial, khususnya melibatkan penyebaran berita palsu serta kandungan negatif berkaitan institusi diraja.
Dalam majlis yang berlangsung kira-kira sejam itu, Tengku Muhammad Fakhry turut berkenan menerima cenderamata kenang-kenangan daripada Fahmi.
Turut hadir pada majlis berkenaan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Komunikasi Mohamad Asif Afifi Mohd Yusof, Pegawai Pengiring kepada Menteri Komunikasi Tuan Ahmad Afifi Hamdan Tuan Aziz serta petugas Pejabat Menteri Komunikasi.
Majlis itu turut dihadiri oleh pegawai kanan dari Pejabat Sultan Kelantan, dan diakhiri dengan sesi ramah mesra serta sesi bergambar bersama para dif jemputan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Final Jelajah PSA 2025-2026: Sivasangari Ke Separuh Akhir
- Lawatan Ke Turkmenistan, Malaysia Tinjau Potensi Besar Kerjasama Pelbagai Sektor
- UM Naik Ke Tangga Ke-56, Kedudukan Terbaik Dalam QS World University Rankings
- Anwar Hargai Pendirian Konsisten Putin Berhubung Gaza, Iran
- Anwar Ucap Terima Kasih Kepada Putin Atas Sokongan Terhadap Kerjasama Tenaga, Petronas