17/06/2026 06:14 PM

Wartawan Perlu Kuasai AI Untuk Kekal Relevan - KP Penyiaran

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Wartawan perlu menerima serta menguasai kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap media yang sentiasa berkembang, kata Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail.

Beliau berkata pengamal media tidak seharusnya melihat AI sebagai ancaman kepada kerjaya kewartawanan, sebaliknya sebagai alat yang mampu melengkapi keupayaan manusia dan memperkukuh kualiti hasil kerja kewartawanan.

“Kerja kita sebagai wartawan tidak akan diambil alih oleh robot. Sebaliknya, saya sebagai wartawan mungkin akan ditinggalkan oleh wartawan lain yang tahu memanfaatkan, menggunakan dan mengoptimumkan AI untuk meningkatkan kemahiran serta keupayaan mereka,” katanya.

Ashwad berkata demikian ketika menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk ‘Journalism, Trust and Listening to Malaysia’ yang diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata antara perkara yang paling membimbangkannya ialah ketidakupayaan sebahagian pengamal media menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta kemungkinan kehilangan pekerjaan dalam industri berkenaan.

Ashwad berkata penggunaan AI di bilik berita perlu dipandu oleh garis panduan jelas bagi membantu organisasi media mengendalikan teknologi yang berkembang pesat dan sukar diramal secara bertanggungjawab.

Beliau berkata garis panduan sedemikian penting bagi memastikan AI dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan manusia serta meningkatkan kualiti hasil kewartawanan.

“AI akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupan kita untuk meningkatkan keupayaan dan nilai kemanusiaan. AI juga akan terus digunakan untuk mempertingkatkan produk yang kita hasilkan, dalam konteks ini produk kewartawanan,” katanya.

Mengenai usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap media, Ashwad berkata organisasi berita perlu kembali kepada asas kewartawanan dengan memperkukuh pelaporan kepada isu setempat serta mewujudkan penglibatan yang lebih bermakna dengan komuniti.

“Elemen kemanusiaan amat penting. Justeru, saya berpendapat itulah aspek utama dalam usaha membina kepercayaan,” katanya.

Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, HAWANA 2026 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana bertujuan menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.

Sambutan kemuncak HAWANA 2026 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 20 Jun ini dan dijangka dihadiri lebih 1,200 tetamu termasuk pengamal media, delegasi ASEAN dan jemputan rasmi.

-- BERNAMA