17/06/2026 11:32 AM

Program WiSE Jadi Pemangkin Transformasi Usahawan Wanita - Raja Muda Perlis

KANGAR, 17 Jun (Bernama) -- Program Women In Search Of Excellence (WiSE) bukan sekadar perkongsian ilmu, malah menjadi pemangkin transformasi usahawan wanita melangkah lebih jauh daripada perusahaan kecil kepada perniagaan berdaya saing dan berpotensi menembusi pasaran lebih luas.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah melalui ekosistem keusahawanan komprehensif, program itu membuka ruang kepada usahawan wanita meningkatkan kapasiti perniagaan, memperluas jaringan profesional serta mengasah kemahiran diperlukan bagi menghadapi cabaran ekonomi masa kini.

“Saya yakin dan percaya bahawa penganjuran program seperti ini juga mampu melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berani mencipta peluang, menjana ekonomi keluarga serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negeri dan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan merasmikan program WiSE 2026 bertemakan Elevating Women, Empowering Communities di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM, di sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah program itu satu inisiatif strategik hasil kerjasama erat antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dalam usaha memperkasa ekonomi wanita serta memperkukuh peranan mereka sebagai penggerak pembangunan masyarakat.

Raja Muda Perlis menyeru wanita di negara ini untuk terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan, keberanian dan semangat juang yang tinggi, dan wanita bukan sahaja merupakan tunjang kekuatan institusi keluarga malah aset penting dalam pembangunan ekonomi dan kemajuan negara. 

“Semoga lebih ramai wanita tampil sebagai pencipta peluang, pemimpin perubahan dan peneraju kejayaan yang mampu mengangkat martabat negara di persada dunia. Saya percaya wanita Malaysia akan terus menjadi pemangkin kepada masyarakat yang lebih maju, sejahtera dan berdaya saing,” titah baginda.

Terdahulu, dalam ucapan Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman pada majlis perasmian itu, beliau antara lain memaklumkan program WiSE itu diperkenalkan Raja Muda Perlis pada 2023.

-- BERNAMA