CLLA Bantu 177 Syarikat Pemula Kumpul Dana RM285 Juta, Wujudkan 1,800 Pekerjaan Sejak 2013
CYBERJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) telah membantu 177 syarikat pemula memperoleh pelaburan lebih RM285 juta, menjana hasil terkumpul melebihi RM891 juta serta mewujudkan 1,800 peluang pekerjaan sejak penubuhannya pada tahun 2013, sekali gus mencerminkan impak program itu yang semakin berkembang terhadap ekosistem syarikat pemula di Malaysia.
Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologi Cyberview Shafinaz Salim berkata pencapaian tersebut menyerlahkan peranan satu daripada program yang paling lama beroperasi di negara ini, dalam membantu syarikat peringkat awal beralih daripada pengesahan produk kepada pengkomersialan, kesiapsiagaan pelaburan dan pengembangan pasaran.
“Program ini mencerminkan komitmen Cyberview dalam membantu pengasas membina perniagaan yang bukan sahaja berdaya maju dari segi komersial, malah mampu mencipta impak yang bermakna.
"Di Cyberview, kami mereka bentuk CLLA dengan tujuan untuk membawa syarikat pemula lebih dekat kepada penerima, menempatkan mereka dalam persekitaran sebenar, menghubungkan mereka dengan pemain industri serta mencabar mereka untuk membangunkan penyelesaian yang benar-benar boleh dilaksanakan, kerana akhirnya, sesuatu inovasi hanya bermakna apabila ia keluar daripada ruang perbincangan dan memasuki dunia sebenar,” katanya kepada pemberita selepas Hari Demonstrasi Kohort 21 CLLA di sini, semalam.
Shafinaz berkata beberapa syarikat pemula daripada Kohort 21 terkini telah mula menterjemahkan inovasi kepada hasil perniagaan yang nyata, sekali gus membuktikan penekanan program itu terhadap penerimagunaan dalam dunia sebenar dan pertumbuhan.
Beliau berkata antaranya ialah Xylorix, yang teknologi pengecaman kayu berasaskan kecerdasan buatan (AI) milik mereka baru-baru ini, mendapat pendedahan pada peringkat antarabangsa menerusi inisiatif penguatkuasaan perhutanan di Liberia.
“Applikasi Xylorix Enforcer diperkenalkan semasa program latihan penguatkuasaan undang-undang bersama, yang diketuai oleh Perkhidmatan Hutan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, bagi menyokong usaha memperkukuh pengesahan kayu balak serta membanteras pembalakan haram dan penyeludupan kayu rentas sempadan,” kata Shafinaz.
Beliau berkata satu lagi peserta iaitu SpaceIn, telah memulakan percubaan teknologi Internet benda (IoT) satelit bersama Myriota, yang menandakan satu langkah penting ke arah pembangunan ekosistem IoT satelit yang berskala di Malaysia.
“Percubaan itu dijangka menyokong pelbagai aplikasi masa depan merentasi sektor pertanian, maritim, logistik dan pemantauan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Shafinaz berkata syarikat pemula teknologi pertanian, [0]inc, berjaya memperoleh pembiayaan dana berjumlah RM1.4 juta, selepas memperkemas struktur perniagaan dan pembentangan kepada pelabur melalui bimbingan yang diterima sepanjang menyertai program pemecut tersebut.
“Kami memastikan produk dan idea yang diketengahkan mempunyai kebolehpasaran. Ia mesti boleh diskalakan dan tidak terhad kepada pasaran Malaysia sahaja, sebaliknya berpotensi untuk memenuhi keperluan pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata Cyberview turut menilai syarikat pemula berdasarkan potensi mereka untuk menarik modal teroka, pelabur malaikat serta kerjasama strategik yang mampu menyokong pertumbuhan pada masa hadapan.
Shafinaz berkata sokongan diberikan seawal peringkat pemilihan, dengan syarikat pemula menerima bimbingan dan khidmat mentor bagi menangani kekurangan serta memperkukuh cadangan perniagaan mereka sebelum diperkenalkan kepada rangkaian pemain industri, syarikat korporat dan agensi kerajaan milik Cyberview.
Beliau berkata program itu telah berkembang dari semasa ke semasa, dengan tempohnya dipendekkan kepada empat bulan berbanding lebih enam bulan sebelum ini, bagi membantu syarikat pemula membawa produk mereka ke pasaran dengan lebih pantas serta merebut peluang perniagaan secara lebih berkesan.
Beliau berkata objektif program pemecut itu bukan sekadar menyokong syarikat pemula, tetapi untuk membawa mereka lebih dekat kepada penerimagunaan pasaran dengan menghubungkan pengasas syarikat dengan pemain industri serta mendedahkan mereka kepada persekitaran operasi sebenar.
Pada Hari Demonstrasi Kohort 21, sebanyak 10 finalis dipilih daripada 25 syarikat pemula yang mengambil bahagian, dengan anggaran penilaian prapelaburan gabungan mencecah kira-kira RM154 juta.
Xylorix muncul sebagai pilihan juri dan menerima hadiah wang tunai RM5,000, manakala Dataverse Sdn Bhd (Mampu AI) memenangi anugerah Pilihan Penonton serta membawa pulang RM3,000.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Andre Pilih Terbuka Korea, Buru Tiket Sukan Asia
- Kanak-kanak Lelaki 8 Tahun Dikhuatiri Lemas Di Sungai Ganggarak Permai
- Pelancong Jerman Meninggal Dunia Selepas Aktiviti Selam Snorkel
- Malaysia Perkukuh Kerjasama Perdagangan Makanan, Pertanian Dengan Uzbekistan
- Dua Penjenayah Warga India Yang Diburu Dihantar Pulang Ke Negara Asal