Sindiket Penyeludupan Makin Berani Ceroboh, Potong Kawat Duri Sempadan Malaysia-Thailand
KOTA BHARU, 17 Jun (Bernama) -- Tindakan terdesak sindiket penyeludupan menceroboh serta memotong kawat berduri jenis concertina wire di sempadan Malaysia–Thailand menjadi bukti jelas bahawa kumpulan jenayah itu semakin berani mencabar undang-undang dan pihak berkuasa negara.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perbuatan khianat itu dilakukan secara sengaja oleh sindiket berkenaan meskipun mereka sedia maklum bahawa struktur halangan fizikal itu dipasang secara rasmi oleh pasukan keselamatan bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata hasil lawatan kerja sebelum ini mendapati terdapat empat lokasi di sepanjang jajaran kawat duri sejauh 1.5 kilometer dari Rantau Panjang ke arah Tumpat telah dipotong oleh kumpulan penyeludup.
“Pihak polis bagaimanapun telah mengambil tindakan pantas dengan membaiki semula semua struktur kawat duri yang rosak bagi memastikan benteng pertahanan sempadan negara tidak terus diceroboh.
“Susulan insiden sabotaj aset keselamatan negara itu, pihak polis tidak membuang masa dan melancarkan tindakan penguatkuasaan bagi mengesan dalang yang terlibat dalam kegiatan khianat berkenaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau turut mengesahkan beberapa tangkapan telah dibuat membabitkan penduduk setempat yang dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian pemotongan kawat duri berkenaan.
“Langkah tegas ini diambil bagi memberi isyarat jelas bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersubahat dengan sindiket penyeludupan,” katanya.
Mengulas skop pemasangan halangan berkenaan, beliau menjelaskan bahawa struktur kawat duri bernilai RM100,000 itu setakat ini hanya dipasang di kawasan Rantau Panjang dan belum diperluaskan ke kawasan sempadan lain seperti Jeli dan Tanah Merah.
Mohd Yusoff berkata halangan fizikal itu bersifat sementara sementara menunggu pembinaan tembok dan pagar keselamatan kekal yang telah diluluskan kerajaan dengan pelaksanaannya tertakluk kepada status penyelesaian penuh Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu.
Bagi memastikan rantaian penyeludupan terus disekat sepanjang tempoh itu, beliau berkata polis akan menggunakan peruntukan tambahan RM100,000 daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi menyambung pemasangan kawat duri sepanjang satu kilometer lagi ke arah Tumpat, selain memohon peruntukan tambahan secara berperingkat daripada kerajaan.
Pada April lepas, agensi penguat kuasa sempadan dilaporkan boleh menahan dan mendakwa individu yang didapati memotong kawat berduri yang dipasang di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dilaporkan berkata mereka yang ditahan boleh didakwa atas kesalahan khianat harta benda.
Menurutnya, kebelakangan ini terdapat insiden kawat besi di sepanjang sempadan dipotong oleh penyeludup, sekali gus mendorong PGA mempertingkatkan pemantauan di kawasan panas dikenal pasti.
Kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Kelantan–Thailand membabitkan jarak kira-kira 163 kilometer, dengan 91 kilometer daripadanya merangkumi kawasan perairan Sungai Golok. Pemantauan ini melibatkan beberapa daerah utama termasuk Tumpat, Rantau Panjang (Pasir Mas), Tanah Merah dan Jeli.
Sebelum ini, larangan rentas sempadan secara haram melalui pangkalan atau jeti haram di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand, khususnya di kawasan Sungai Golok, berkuat kuasa sejak 1 Dis 2024.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Rektor UIAM Osman Bakar Dinobat Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan
- Paus Leo Harap Memorandum AS-Iran Menjadi ‘Penyelesaian Sebenar’ Kepada Perang
- Malaysia, Tatarstan Teroka Potensi Besar Perluas Kerjasama Pelbagai Bidang - PM Anwar
- Program WiSE Jadi Pemangkin Transformasi Usahawan Wanita - Raja Muda Perlis
- Wartawan Sukan Bukukan Final Bersejarah Piala Malaysia 2018