Bank Perlu Bangunkan Keupayaan Khusus Pembiayaan PKS – EBRD
Oleh Siti Radziah Hamzah
TASHKENT, 16 Jun (Bernama) -- Membangunkan pasaran modal yang lebih mendalam dan meluaskan akses pembiayaan untuk segmen yang kurang mendapat perkhidmatan, kekal antara cabaran utama yang dihadapi oleh ekonomi sedang membangun di Asia Tenggara, menurut Bank Eropah untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD).
Pengarah Urusan dan Ketua Institusi Kewangan EBRD Francis Malige berkata walaupun sistem perbankan di kebanyakan pasaran sedang membangun secara amnya mempunyai modal yang mencukupi, usaha yang lebih besar diperlukan untuk menyalurkan pembiayaan kepada segmen yang sering diabaikan oleh pemberi pinjaman tradisional, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Jurang terbesar dalam sektor kewangan adalah kelemahan dalam pembangunan pasaran modal dan liputan pembiayaan bank terhadap segmen yang kurang mendapat perkhidmatan sebaik pasaran lain.” katanya kepada Bernama di luar acara Forum Pelaburan Antarabangsa Tashkent (TIIF) 2026 di sini, hari ini.
Malige berkata PKS terus berdepan halangan struktur dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan, walaupun peranan mereka penting dalam pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.
"Adalah lebih mudah memberi pinjaman kepada kerajaan berbanding kepada PKS. Proses untuk menganalisis PKS juga lebih rumit. Usaha yang diperlukan berbanding saiz pinjaman tidak sepadan berbanding dengan sebuah korporat besar," katanya.
Sehubungan itu, institusi kewangan perlu membangunkan keupayaan khusus dan pemberian pinjaman kepada PKS serta amalan penilaian risiko untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada sektor berkenaan.
Malige berkata dalam hal ini EBRD bekerjasama rapat dengan institusi kewangan rakan kongsi di seluruh wilayah operasinya untuk memperkukuh kapasiti mereka bagi berkhidmat kepada segmen pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan.
Selain PKS, beliau berkata usahawan wanita dan muda juga sering menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan, sekali gus menekankan keperluan untuk program pemberian pinjaman dan produk kewangan yang lebih bersasar.
"Kami membantu institusi kewangan rakan kongsi kami mencari jalan dalam membangunkan kemahiran dan amalan pemberian pinjaman khusus untuk PKS, di samping membantu mereka menangani pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan, seperti usahawan wanita dan usahawan muda," katanya.
Mengenai pembiayaan perdagangan rentas sempadan, Malige berkata institusi kewangan pembangunan terus memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan antarabangsa di tengah-tengah peralihan rantaian bekalan global.
Beliau berkata EBRD mengendalikan program pemudahcara perdagangan yang luas melibatkan kira-kira 130 bank pengeluar jaminan dan hampir 1,000 bank yang mengesah jaminan tambahan di seluruh dunia.
"Sesiapa sahaja yang mahu menjalankan perdagangan dengan negara operasi EBRD seperti Uzbekistan, dialu-alukan untuk datang berbincang dengan kami dan menyertai program ini," katanya.
Malige berkata pelabur global kini semakin menyesuaikan strategi mereka sebagai tindak balas kepada persekitaran antarabangsa yang lebih tidak menentu dan sukar diramal, sekali gus menyebabkan perubahan dalam rantaian bekalan dan aliran pelaburan.
Edisi kelima TIIF berlangsung dari 16 Jun hingga 19 Jun dengan tema ‘Daya Tahan Pelaburan: Sempadan Baharu, Perkongsian Baharu’.
Forum itu menampilkan pameran industri berskala besar dengan lebih 100 pengeluar domestik, di samping pelbagai pertemuan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke kerajaan (B2G).
Pada 2025, forum berkenaan dihadiri oleh lebih 8,000 orang, termasuk 3,000 tetamu asing dari lebih 100 buah negara.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin
- Malaysia, Uzbekistan Teroka Peluang Perluas Kerjasama Dalam Sektor Strategik - PM
- Visa AS Pemain Bola Sepak Iran Tamat Tempoh Selepas Penampilan Pertama Piala Dunia
- TPM, Menteri Kabinet Seru Rakyat Hayati Semangat Hijrah
- PGA Rampas Arak, Anak Pokok Seludup Bernilai RM413,500