16/06/2026 05:28 PM

China Puji Peranan Malaysia Dalam Rundingan COC Laut China Selatan - Duta

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- China memuji peranan membina yang dimainkan oleh Malaysia dalam menggerakkan rundingan berhubung Kod Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan ke hadapan, ketika rundingan berkenaan kini memasuki peringkat kritikal.

Duta  China ke Malaysia Ouyang Yujing berkata China dan Malaysia sentiasa mengekalkan komunikasi rapat serta bersama-sama memajukan rundingan COC, yang akan menyediakan jaminan institusi bagi keamanan dan kestabilan jangka panjang di perairan yang menjadi pertikaian itu.

"China memuji Malaysia atas peranan membinanya sebagai Pengerusi Bersama mekanisme pelaksanaan Deklarasi Mengenai Tatakelakuan Pihak-Pihak di Laut China Selatan," katanya dalam satu taklimat media di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa Malaysia akan mempercepatkan rundingan mengenai COC itu.

Ouyang berkata sejak tahun lepas, China dan Malaysia telah mengekalkan komunikasi yang berkesan mengenai isu-isu maritim serta aktif menerokai kaedah untuk memajukan kerjasama maritim menerusi dialog dua hala mengenai pengurusan isu-isu maritim di Laut China Selatan.

Beliau berkata rundingan kini telah memasuki peringkat kritikal dan semua pihak berharap ia dapat dimuktamadkan seperti yang dijadualkan.

Beberapa pemimpin ASEAN sebelum ini menyatakan harapan agar COC Laut China Selatan dapat dimuktamadkan pada tahun ini.

"China akan terus kekal yakin, bekerjasama dengan semua pihak termasuk Malaysia, menghapuskan sebarang gangguan, mencari titik persamaan sambil menguruskan perbezaan, serta memajukan rundingan COC bagi menyediakan jaminan institusi yang kukuh demi keamanan dan kestabilan berpanjangan di Laut China Selatan," katanya.

Dalam pada itu, duta berkenaan turut menyifatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara kini berada pada tahap paling kukuh, susulan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia tahun lepas.

Beliau berkata pertukaran lawatan peringkat tinggi juga mencatatkan rekod baharu sepanjang tahun lepas, dengan membuahkan dua lawatan rasmi oleh Perdana Menteri Li Qiang ke Malaysia serta lawatan keempat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China sepanjang tempoh pentadbirannya.

Menurut Ouyang, hubungan akrab antara pemimpin kedua-dua negara telah memperkukuh kepercayaan politik bersama selain memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor.

-- BERNAMA