Agong Zahir Takziah Dua Anggota Tentera Maut Letupan Bom Di Kem Hobart
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota tentera yang terkorban dalam insiden letupan bom ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mendoakan agar keluarga mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat sukar itu.
“Al-Fatihah buat dua anggota yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,’’ titah Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sultan Ibrahim turut menitahkan ATM supaya menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian selain memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian utama dan diperkukuhkan.
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia memaklumkan mangsa ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD).
Kedua-dua anggota berkenaan yang cedera parah dalam kejadian pada 10.57 pagi itu, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Bersatu Kekal Dalam PN, Guna Logo Pada PRN Johor Dan Negeri Sembilan - Muhyiddin
- Malaysia, Uzbekistan Teroka Peluang Perluas Kerjasama Dalam Sektor Strategik - PM
- Visa AS Pemain Bola Sepak Iran Tamat Tempoh Selepas Penampilan Pertama Piala Dunia
- TPM, Menteri Kabinet Seru Rakyat Hayati Semangat Hijrah
- PGA Rampas Arak, Anak Pokok Seludup Bernilai RM413,500