MCE Dijangka Raih Manfaat Daripada Pembangunan QV-E Pertama Perodua - HLIB
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pengeluar komponen elektronik MCE Holdings Bhd dijangka meraih manfaat daripada pembangunan model kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua, QV-E, susulan syarikat itu membekalkan sistem infotainmen serta komponen elektronik lain, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Dalam nota penyelidikan, HLIB berkata MCE memiliki asas yang kukuh termasuk pasukan kejuruteraan berpengalaman, kilang berteknologi tinggi baharu di Serendah serta kerjasama teknikal dengan rakan kongsi dalam teknologi baharu seperti sistem kokpit pintar, radar gelombang milimeter (mmWave) dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
“Seiring usaha pengeluar peralatan asal (OEM) mempercepatkan pengeluaran secara tempatan dan meningkatkan kandungan elektronik setiap kenderaan, MCE berada pada kedudukan yang baik untuk meraih lebih banyak kontrak bernilai tinggi serta memperkukuh peranannya dalam rantaian bekalan automotif,” katanya.
HLIB berkata Malaysia kini berada pada titik perubahan dalam usaha menaikkan rantaian nilai industri automotif, dengan hala tuju dasar yang menumpukan usaha pengeluaran secara tempatan komponen automotif bernilai tinggi.
Dalam konteks ini, OEM yang berpangkalan di Malaysia itu muncul sebagai antara penerima manfaat utama, memandangkan kontrak bagi model QV-E Perodua menjana pendapatan kira-kira RM3,000 bagi setiap kenderaan, iaitu sekitar 10 kali ganda nilai kontrak biasa kumpulan itu bagi setiap kenderaan.
“Lebih penting, ini merupakan satu pencapaian besar bagi MCE kerana ia membina rekod prestasi kumpulan dalam pengeluaran sistem infotainmen bernilai tinggi.
“Ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada MCE untuk memperoleh kontrak seumpama itu daripada prospek dalam kedua-dua model enjin pembakaran dalaman dan kenderaan elektrik,” kata HLIB.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Scanwolf Peroleh Projek Substruktur Bernilai RM75 Juta Di KL
- Sultan Selangor Nasihat Umat Islam Sentiasa Utamakan Perpaduan
- Harga SMR 20 Capai Paras Tertinggi Dalam Tempoh Sembilan Tahun Susulan Bekalan Terhad
- PM Ke Kazan Perkukuh Hubungan Malaysia-Rusia, Kerjasama ASEAN-Rusia - Duta
- PM Anwar Ketuai Delegasi Malaysia Ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia 2026 Di Kazan