Malaysia Harap Kelebihan Laman Sendiri Untuk Naik Ke Kumpulan I Saingan Billie Jean King Cup
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Skuad tenis wanita negara mempunyai peluang cerah untuk melangkah jauh dalam saingan Billie Jean King Cup (BJKC) 2026 Kumpulan II Asia/Oceania di Pusat Tenis Nasional, Jalan Duta, di sini sekali gus dinaikkan ke Kumpulan I tahun depan.
Jurulatih kebangsaan Muliyadi Jamal berkata beraksi di laman sendiri mampu memberi kelebihan buat Malaysia selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Laos, Uzbekistan dan Sri Lanka bagi kejohanan yang berlangsung bermula esok hingga 20 Jun.
“Saya fikir jika kita melihat undian, setiap kumpulan boleh dikatakan seimbang. Saya percaya kita mempunyai peluang untuk mara ke peringkat akhir. Diharapkan pemain-pemain kita dapat melakukannya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kumpulan A terdiri daripada Hong Kong, Kyrgyzstan, Oceania Pasifik, Filipina dan Singapura.
Hanya dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir, manakala juara kejohanan akan layak beraksi dalam saingan Kumpulan I.
Setiap perlawanan terdiri daripada dua aksi perseorangan dan satu beregu.
Malaysia, yang tidak pernah beraksi dalam Kumpulan I, telah mara ke separuh akhir Kumpulan II dalam tiga edisi terakhir berturut-turut, iaitu pencapaian terbaik dalam kejohanan tersebut setakat ini.
Skuad negara tewas 0-2 kepada Indonesia pada aksi separuh akhir tahun lepas.
Dalam pada itu, pemain senior negara Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman menyambut baik keputusan undian tersebut dan percaya Malaysia mempunyai peluang untuk memberikan cabaran sengit dalam kejohanan berkenaan.
Pemain berusia 22 tahun itu juga tidak berasa tertekan dengan tanggungjawab sebagai pemain paling berpengalaman dalam skuad yang majoritinya terdiri daripada pemain junior.
“Majoriti daripada mereka adalah pemain junior atau lebih muda, tetapi saya senang bersama mereka yang juga rakan-rakan baik saya dan kami saling memberi motivasi antara satu sama lain. Jadi, saya tiada masalah,” katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Normalisasi Kadar Faedah Di Jepun Dilihat Beri Impak Lebih Besar Terhadap Asia Berbanding Eropah
- Polis Kesan Remaja Hilang Ketika Keluar Bersiar-siar Di Pantai Teluk Ketapang
- Syarikat Malaysia Bersedia ESG Mempunyai Kelebihan Tembusi Pasaran EU - GRI
- Model WBL Di IPT Perluas Kebolehpasaran Graduan Media Dan Komunikasi
- Isu Air Papar: Dua Projek Infrastruktur Dijangka Beroperasi Tahun Ini