Am 18/10/2026 04:11 PM

TLAS 2026 Tonjol Kepentingan Inovasi Digital, Profesionalisme Dalam Industri Takaful

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TLAS 2026 Tonjol Kepentingan Inovasi Digital, Profesionalisme Dalam Industri Takaful

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Industri takaful Malaysia kini memberi penekanan kepada inovasi digital, pembangunan profesional dan kepercayaan pelanggan sebagai usaha memperkukuh peranan ejen takaful dalam landskap kewangan yang kian dipacu teknologi.

Perkara berkenaan menjadi fokus pada Sidang Kemuncak Pemimpin dan Ejen Takaful (TLAS) 2026 anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dengan bertemakan "Lead the Next: Human Trust, Digital Edge, Takaful Excellence".

Antara acara utama ialah pelancaran Laluan Profesional Penasihat Takaful (TAPP), iaitu inisiatif industri yang bertujuan memperkukuh profesionalisme dan pembangunan kerjaya ejen takaful.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata masa depan industri takaful bukan sekadar bergantung pada inovasi produk dan kemajuan teknologi, malah keupayaannya melahirkan ejen yang profesional, berpengetahuan luas serta beretika.

“Teknologi mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, namun kepercayaan pelanggan kekal sebagai asas kejayaan industri ini,” katanya pada sidang kemuncak itu semalam.

Beliau berkata menerusi TLAS 2026, MTA berhasrat melahirkan generasi baharu pemimpin dan ejen takaful yang bukan sahaja berusaha mencapai kecemerlangan perniagaan, tetapi juga menyedari tanggungjawab mereka sebagai penasihat perlindungan kewangan yang dipercayai komuniti mereka berkhidmat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut tampil dalam sesi bual bicara bertajuk “Takaful with Purpose: Bringing Values Back Into Conversation".

Pada sesi itu, beliau menggalakkan pihak industri beralih daripada pemasaran yang menimbulkan ketakutan kepada pendekatan yang mempromosikan takaful sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan yang bertanggungjawab, perlindungan keluarga dan gaya hidup sihat.

Syed Saddiq berkata pihak industri perlu menilai semula strategi komunikasi agar terus relevan dengan golongan muda Malaysia, khususnya Generasi Z, di samping mengekalkan nilai teras kepercayaan dan tanggungjawab.

"Sekiranya kita terus menggunakan kaedah konvensional untuk mendekati golongan muda dan mengharapkan hasil yang sama, ia tidak akan berhasil,” katanya.

Agenda sidang kemuncak itu turut merangkumi sesi bertajuk “AI Tidak Akan Menggantikan Ejen, Sebaliknya Ejen Menggunakan AI”, yang menekankan kepentingan penggunaan teknologi yang semakin meningkat dalam kalangan profesional takaful.

Selain itu, ia menumpukan kepada pembinaan jenama profesional melalui platform digital, usaha mencari prospek menerusi media sosial, kepimpinan serta pencapaian kecemerlangan Million Dollar Round Table (MDRT).

Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bertajuk “Medi Asas: What You Need To Know" turut ditampilkan, yang menghimpunkan pemimpin industri untuk membincangkan isu yang mempengaruhi sektor takaful.

TLAS 2026 turut mendapat sokongan daripada Unifi selaku rakan digital, Prudential BSN Takaful Bhd (penaja platinum) dan AIA PUBLIC Takaful Bhd (penaja emas).

-- BERNAMA