KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Shahabudeen Adam Shah menzahirkan rasa optimis berhubung masa depan hubungan bilateral Malaysia-Itali ketika kedua-dua negara menghampiri ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027.
Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis resepsi di Rom pada 9 Okt sempena memperingati Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, serta Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-93, beliau menekankan potensi untuk memperdalam kerjasama dalam sektor utama merangkumi perdagangan dan pelaburan, tenaga serta pertahanan.
“(Beliau juga) menegaskan hubungan bilateral yang terjalin lama dan kukuh antara Malaysia dan Itali, sambil menyorot momentum baharu dalam kerjasama dua hala susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rom pada Julai 2025,” kata Kedutaan Besar Malaysia di Rom dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Lebih 200 tetamu kehormat menghadiri majlis resepsi anjuran kedutaan itu, termasuk Ketua Protokol Diplomatik di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Itali Bruno Antonio Pasquino selaku tetamu kehormat, serta Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) Dr Qu Dongyu.
Hadir sama pegawai kanan Kerajaan dan Angkatan Tentera Itali, wakil organisasi antarabangsa, ahli kor diplomatik, warga akademik, kumpulan pemikir serta sektor swasta.
Majlis pada sebelah malam itu diserikan dengan persembahan lagu-lagu Malaysia oleh Frandius Tedward Tendahal, bakat dalaman kedutaan, yang menyampaikan rangkaian lagu-lagu meletup nasional klasik dan kontemporari.
Beliau membuat persembahan bersama anak-anak Pegawai Ditempatkan di Luar Negara (HBS) yang mengenakan pakaian tradisional Malaysia. Kanak-kanak berkenaan yang berdiri di atas pentas sambil megah memegang Jalur Gemilang menambah sentuhan budaya yang memikat dalam majlis rasmi itu.
Menurut kedutaan, para tetamu turut menyaksikan video promosi tarikan pelancongan Malaysia terbitan Tourism Malaysia sambil menikmati hidangan kulinari Malaysia terpilih yang disediakan oleh PERWAKILAN Rom.
Sajian yang merangkumi kuih buah Melaka, karipap, bingka ubi dan sagu gula Melaka menawarkan rasa warisan kulinari Malaysia yang kaya kepada para tetamu, sekali gus menambah dimensi budaya dalam sambutan berkenaan.
Selain itu, kedutaan menganjurkan perhimpunan diaspora Malaysia pada 12 Sept di Court Delicati, sebuah restoran Malaysia di Rome, yang menghimpunkan rakyat dan rakan-rakan Malaysia di Itali bagi menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Perhimpunan itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang menetap di Itali untuk berhubung semula, mengeratkan hubungan komuniti serta meraikan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam suasana yang mesra,” kata kedutaan.
-- BERNAMA