KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan penstrukturan semula kepimpinan negeri dengan menamakan Mahmud Epah sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak yang baharu.
Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pimpinan Cabang PKR Sarawak bersama Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Beliau berkata mesyuarat itu turut membuat beberapa ketetapan penting bagi memperkukuh persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat.
"Mesyuarat menegaskan bahawa tumpuan utama adalah kepada strategi dan gerak kerja pilihan raya sebagai rangka persiapan menyeluruh.
"Sehubungan dengan itu, mesyuarat turut bersetuju mengenai penstrukturan semula kepimpinan negeri, dengan Saudara Mahmud Epah telah dinamakan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah berkata Ahmad Nazib Johari akan terus melaksanakan peranan memperkukuh hubungan antara Pusat dengan Sabah dan Sarawak, selaras dengan fokus parti untuk memperkukuh jaringan politik di kedua-dua wilayah.
-- BERNAMA