Oleh Soraya Jamal
KUALA LUMPUR, Okt 18 (Bernama) -- Ada sesuatu yang menarik apabila kira-kira 1,500 orang memenuhi kapasiti Odeon KL, panggung wayang tertua dan ikonik yang kini diberi nafas baharu sebagai pusat seni di jantung Kuala Lumpur.
Sebahagiannya datang dengan busana gaya Britpop dan mod, demi meraikan Konsert Disko Dansa Generasiku malam minggu lalu yang mempertemukan dua kugiran alternatif tempatan, OAG dan The Times.
Konsert ini mencipta sejarah tersendiri dalam industri seni tanah air, kerana menemukan dua titik dalam satu garis masa muzik Malaysia, iaitu OAG yang meluncur bersama-sama dengan gelombang rock alternatif pada 1990-an dan The Times yang muncul daripada denyut indie Melayu pada dekad berikutnya.
OAG sendiri antara pelopor dan pencetus awal genre muzik indie tanah air yang berjaya menerobos masuk muzik arus perdana. Malah, perjalanan OAG bermula jauh sebelum istilah “indie” menjadi sebahagian daripada bahasa pemasaran industri muzik.
Meskipun bergerak dalam jalur indie, atau mandiri, OAG dua kali “menyelamatkan” industri muzik, bermula dengan memecah monopoli rock kapak, pop dan balada pada lewat 90-an dan kali kedua ketika lambakan pop Indonesia menawan corong radio Malaysia pada awal 2000-an.
Berhasil membuat transisi nyanyian daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu secara mulus, OAG mempertaruhkan melodi dan juga lirik menerusi pendekatan bahasa yang tersendiri, bermain dengan olahan kata-kata.
Ketika banyak kumpulan tempatan cenderung menggunakan laras bahasa Indonesia, OAG dan The Times menongkah arus. Lagu mereka sangat “Malaysia”, muda dan segar. Mereka membuktikan bahawa bunyi yang lahir daripada budaya bawah tanah juga boleh menembusi radio, televisyen dan pasaran arus perdana tanpa kehilangan identiti.
Itulah antara sumbangan terbesar mereka. Muda, sedikit pelik, kadangkala nakal dan enggan akur dengan standard muzik industri Malaysia. Mungkin itulah sebabnya muzik mereka masih terasa segar.
Tidak banyak kugiran yang mampu membawa semangat anak muda selama lebih tiga dekad. OAG ialah antara yang berjaya melakukannya danThe Times pula mengambil obor itu untuk generasi berikutnya, membina satu kesinambungan. Dan ini diterjemahkan dalam Konsert Disko Dansa Generasiku.
The Times membuka pentas dengan deretan lagu yang membentuk identiti mereka, antaranya Pesona Algebra, Khayal Khayalan, Infra Merah dan Lalai, sebelum OAG mengambil alih set kedua.
Radhi, selaku nyawa pada OAG, tampil dengan gaya khasnya yang bertenaga dan sesekali menyelitkan pesan ketuhanan. Antara lagu dipersembahkan ialah SoulLaWatt, PerMYsuri dan Knocked Silly.
Kotak memori teras para generasi X dan millenial yang hadir malam itu terpicu saat Radhi berkata “This song is called”, yang merupakan pembuka kepada lagu paling ikonik OAG, 60s TV,
Kemuncaknya apabila kedua-dua kugiran bertemu di atas pentas pada set ketiga, melengkapkan 30 lagu yang dipersembahkan sepanjang malam, termasuk Generasiku dan Spastic Youth daripada katalog OAG, selain karya The Times seperti Pesona Algebra dan Gadisku Dalam Koma.
Susunan persembahan yang menggabungkan dua vokal, gitar, bes dan dram menjadikan segmen bersama itu bukan sekadar sesi “jamming” dua kumpulan, tetapi satu persembahan yang terasa cukup organik. Pertemuan Radhi OAG dan Naza The Times menjadi antara momen paling bermakna malam itu.
Persembahan malam itu turut membawa beberapa kejutan dengan lagu Senyuman Ragamu, yang asalnya kolaborasi Radhi bersama Gerhana Ska Cinta, manakala Don't Look Back in Anger daripada Oasis mengubah Odeon menjadi sesi karaoke besar-besaran.
Dan apabila Radhi menutup persembahan dengan lagu Hey Hey, lagu dengan lirik dialek Sarawak, negeri kelahiran kedua-dua kumpulan ini, konsert itu terasa semakin peribadi dan sempurna.
OAG dan The Times sebenarnya tidak perlu membuktikan apa-apa lagi. Hakikat bahawa kugiran yang bergerak indie mampu bertahan sejak 1990-an hingga 2026, bukan pencapaian kecil.
Ia adalah gambaran bagaimana muzik alternatif Malaysia berkembang dengan tidak semestinya melalui garis lurus, tetapi melalui pertukaran anggota, pengaruh, persahabatan, eksperimen dan keberanian untuk mengambil sesuatu daripada generasi sebelumnya lalu membentuknya semula.
Apatah lagi dalam industri muzik kini yang bergerak begitu pantas. Hari ini, lagu boleh menjadi tular dalam beberapa jam dan dilupakan beberapa minggu kemudian.
Karyawan berdepan perhatian peminat yang semakin singkat, algoritma yang sentiasa berubah dan keperluan untuk sentiasa menghasilkan sesuatu yang baharu. Dalam keadaan begitu, ketahanan menjadi bentuk kejayaan yang jarang disebut.
OAG dan The Times membuktikan bahawa ada karya yang tidak memerlukan kehidupan kedua melalui algoritma. Itulah yang menjadikan Disko Dansa Generasiku lebih daripada sebuah konsert nostalgia.
Tiga dekad selepas OAG mula mengetuk pintu arus perdana, dan lebih dua dekad selepas The Times muncul daripada lingkaran yang sama, kedua-duanya masih mampu membuat sebuah dewan penuh manusia berdiri, menyanyi dan berdansa.
Mungkin itu ukuran sebenar umur panjang sesebuah kugiran. Bukan berapa lama namanya bertahan, tetapi berapa lama karyanya mampu membuat peminat merasakan sesuatu.
-- BERNAMA