KUALA TERENGGANU, 17 Okt (Bernama) -- Seorang pesara kerajaan wanita kerugian sebanyak RM42,580 selepas diperdaya sindiket skim gandaan wang dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 7 Okt lepas, mangsa yang berusia 71 tahun telah melihat iklan skim menggandakan wang menerusi laman Facebook.
Beliau berkata mangsa yang berminat telah menghubungi suspek yang dikenali sebagai Ustaz Hilmi Firdausi melalui aplikasi WhatsApp.
"Mangsa yang terperdaya telah membuat lima kali bayaran berjumlah RM42,580 menggunakan wang simpanan dan dijanjikan pulangan sebanyak RM300,000.
"Bagaimanapun, setelah membuat pembayaran tersebut, suspek meminta mangsa membuat tambahan sebanyak RM50,000 untuk mendapatkan keuntungan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azli berkata mangsa yang curiga enggan mengikuti arahan dan membuat laporan polis pada 11.06 malam, Khamis lepas.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA