Am 17/10/2026 12:33 PM

Pekebun Rugi RM100,000 Tanaman Dimusnah Gajah Liar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pekebun Rugi RM100,000 Tanaman Dimusnah Gajah Liar
Penduduk Kampung Tepus, Ahmad Nazri Mat Hasam, 58, membersihkan kebun pisang milik saudaranya yang dimusnahkan gajah liar pada Rabu lepas. Ahmad Nazri berkata gajah liar berkenaan dikesan memasuki kebun yang terletak berhampiran rumah penduduk sekali gus menimbulkan kebimbangan haiwan itu boleh mengancam keselamatan dan nyawa penduduk. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

DUNGUN, 17 Okt (Bernama) -- Pekebun di Kampung Tepus dekat sini mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas kawasan kebun mereka diceroboh seekor gajah liar sejak tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tepus Mat Zaid Abdulah, 56, berkata kerugian berkenaan melibatkan kemusnahan tanaman kelapa sawit, pisang dan kelapa yang diusahakan di kebun seluas lebih 12 hektar termasuk tanaman yang telah mengeluarkan hasil.

"Malah pada tahun ini, gajah liar itu telah menceroboh kawasan kebun tersebut lebih 10 kali menyebabkan sebahagian pekebun tidak lagi berminat untuk mengusahakan kebun mereka kerana tidak sanggup menanggung kerugian berulang.

"Kejadian terbaharu berlaku pada Rabu lepas apabila haiwan berkenaan memasuki dan memusnahkan kebun pisang yang diusahakan dua pekebun," katanya ketika ditemui di Kampung Tepus di sini hari ini.

Mat Zaid berkata pekebun juga bimbang terhadap keselamatan diri berikutan haiwan liar itu dipercayai masih berkeliaran di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kemunculan gajah liar berkenaan telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap tindakan segera diambil bagi menangani masalah itu serta mengelakkan kerugian lebih besar ditanggung pekebun.

“Saya bimbang lebih banyak kebun penduduk akan mengalami kerosakan dan pekebun menanggung kerugian lebih besar sekiranya tiada tindakan segera diambil bagi menangani masalah gajah liar itu,” katanya.

Seorang penduduk, Ahmad Nazri Mat Hasam, 58, berkata gajah liar berkenaan dikesan memasuki kebun yang terletak berhampiran rumah penduduk sekali gus menimbulkan kebimbangan haiwan itu boleh mengancam keselamatan dan nyawa penduduk.

"Keadaan kampung kini sunyi pada waktu malam apabila penduduk tidak berani keluar rumah kerana bimbang terserempak dengan gajah liar yang sentiasa berkeliaran di kawasan berdekatan kampung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Dennis Ten Choon Yung ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengambil tindakan susulan berhubung pencerobohan gajah liar di kampung berkenaan bagi mengelakkan pekebun menanggung kerugian lebih besar serta memastikan keselamatan penduduk terjamin.

-- BERNAMA