Am 17/10/2026 11:49 AM

NEKMAT Labur RM5.3 Juta Untuk Projek Ternakan Udang Putih Di Badong

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
NEKMAT Labur RM5.3 Juta Untuk Projek Ternakan Udang Putih Di Badong
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Azrin Shah Ismail -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) memperuntukkan pelaburan sebanyak RM5.3 juta bagi membangunkan fasa ketiga projek ternakan udang putih di Taman Akuakultur Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Badong, Pekan, Pahang. Sembilan kolam ternakan baharu dijangka mula beroperasi pada Mac 2028.

Pengurus Besarnya Azrin Shah Ismail berkata fasa ketiga yang dimulakan pada Julai lepas itu melibatkan pembinaan 10 kolam, termasuk sebuah kolam rawatan air. Sembilan lagi kolam ternakan disasarkan mampu menghasilkan kira-kira 120 tan udang setahun.

Beliau berkata kolam rawatan air berkenaan penting bagi memastikan bekalan air masin yang dirawat dapat digunakan untuk memelihara udang dalam keadaan optimum sepanjang tempoh ternakan, sekali gus membantu meningkatkan hasil tuaian.

Menurutnya, kos pembangunan infrastruktur asas bagi fasa ketiga itu ditanggung sepenuhnya oleh NEKMAT tanpa bantuan pihak ketiga.

“NEKMAT juga telah menerima tawaran pembiayaan melalui Dana 3F (Fund for Food) daripada Agrobank sebanyak RM6.24 juta,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Azrin Shah berkata sasaran pengeluaran sebanyak 120 tan udang setahun ditetapkan pada 2025 dengan mengambil kira perancangan untuk memperluas projek berkenaan secara berperingkat.

Beliau berkata fasa kedua projek itu, yang mula dibina pada 2024, telah beroperasi sepenuhnya pada Jun 2025 dan merangkumi empat kolam ternakan udang.

Fasa kedua itu melibatkan kos pembangunan sebanyak RM3.7 juta, termasuk kerja-kerja menaik taraf bekalan elektrik kepada kapasiti 1,000 ampere. Projek berkenaan turut menerima bantuan dana infrastruktur LKIM berjumlah RM1.4 juta bagi membiayai penyediaan pam utama untuk membekalkan air masin.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa empat kolam sedia ada di tapak projek itu berjaya menghasilkan 58 tan udang putih bernilai RM1.4 juta sepanjang  tahun lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perikanan Malaysia dalam kenyataan pada 13 Jun memaklumkan bahawa pengeluaran udang marin negara, yang merangkumi udang harimau dan udang putih, berjumlah 57,047.80 tan dengan nilai borong RM1.53 bilion pada 2025.

Mengenai penggunaan teknologi, Azrin Shah berkata NEKMAT sedang mengadakan perbincangan dengan penyedia teknologi bagi membangunkan sistem kawalan kualiti air automatik serta mekanisasi operasi ternakan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Pelaburan dalam teknologi AI dijangka dapat dilaksanakan pada 2028 selepas keseluruhan kolam beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata NEKMAT juga terbuka untuk menjalin kerjasama dalam bidang akuakultur dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

-- BERNAMA