KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan keprihatinan yang mendalam terhadap kesihatan dan pendidikan anak-anak susulan situasi jerebu yang melanda negara.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata dalam pertemuan bersama Raja Permaisuri Agong hari ini, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap implikasi penutupan sekolah yang berpanjangan kepada kesejahteraan emosi dan kesihatan mental anak-anak.
“Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan mengutamakan kesihatan anak-anak di samping memastikan kelangsungan pendidikan mereka terus terjamin, khususnya anak-anak daripada keluarga B40 yang mungkin berdepan kesukaran akibat penutupan sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Fadhlina berkata pandangan dan nasihat Seri Paduka Baginda akan menjadi pedoman dalam memastikan setiap keputusan berkaitan pengoperasian sekolah mengambil kira kesihatan dan masa depan pendidikan kanak-kanak secara menyeluruh.
“Keprihatinan Seri Paduka Baginda menjadi pedoman dalam ikhtiar memastikan setiap keputusan berkaitan pengoperasian sekolah mengambil kira kesihatan dan masa depan pendidikan anak-anak secara menyeluruh,” katanya.
-- BERNAMA