Am 16/10/2026 10:55 PM

Belanjawan 2027 Perkukuh Daya Tahan PMKS Depani Cabaran Ekonomi Global - Sim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027 Perkukuh Daya Tahan PMKS Depani Cabaran Ekonomi Global - Sim
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong (tengah) bergambar bersama sebahagian 50 pemenang pada Majlis Anugerah Enterprise 50 2026 hari ini. Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy (enam dari kiri). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) – Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi mendepani cabaran ekonomi global menerusi peningkatan akses pembiayaan, pengurangan kos serta penambahbaikan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata komitmen itu antara lain diterjemah menerusi penyediaan kemudahan pembiayaan berjumlah RM57 bilion kepada sektor berkenaan, meningkat daripada RM50 bilion sebelum ini sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah.

Beliau berkata kerajaan menyedari tekanan dihadapi PMKS susulan ketidaktentuan ekonomi global termasuk peningkatan kos tenaga dan gangguan rantaian bekalan yang berada di luar kawalan negara.

“Kita sedia maklum bahawa dalam keadaan pelbagai krisis yang sedang melanda, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberikan ruang dan kelonggaran supaya mereka mampu mendepani pelbagai cabaran.

“Kita tidak boleh mengawal harga tenaga, kita juga tidak mampu mengawal sesetengah rantaian bekalan namun sekurang-kurangnya, kita masih boleh mengawal faktor domestik di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Enterprise 50 (E50) di sini malam ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.

Sim turut menyentuh langkah berkaitan pelaksanaan kenaikan gaji minimum terbaharu yang memberi pengecualian kepada PMKS.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha mengurangkan beban majikan tidak bermakna kerajaan mengetepikan matlamat untuk menyediakan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat Malaysia.

“Kita semua mahu melihat rakyat Malaysia mendapat peluang pekerjaan dengan gaji tinggi tetapi dalam keadaan dunia yang berdepan pelbagai krisis, PMKS juga perlu diberikan ruang untuk mendepani cabaran ini,” katanya.

Sim berkata kejayaan PMKS adalah antara penentu penting kepada prestasi ekonomi negara, justeru beliau optimis 2027 akan menjadi tahun yang lebih baik bagi sektor itu di Malaysia, disokong pelbagai inisiatif kerajaan dan daya tahan usahawan tempatan.

Sementara itu, Rizal berkata program Padanan Perniagaan E50 anjuran SME Corp Malaysia berjaya menjana potensi jualan sebanyak RM420 juta.

Beliau berkata program itu, yang berlangsung selama dua hari sempena penganjuran anugerah berkenaan bertujuan memperluas akses PMKS ke pasaran eksport dan membuka peluang kerjasama perniagaan baharu.

"Program E50 pada tahun ini ditampilkan dengan pendekatan yang lebih bermakna... ia diperluas dengan penganjuran Persidangan Eksport E50 dan Program Padanan Perniagaan E50,” katanya.

Dalam pada itu, Rizal berkata sebanyak 160 pencalonan diterima bagi Anugerah E50 tahun ini sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah penganjurannya sejak diperkenal pada 1997.

Beliau berkata peningkatan itu mencerminkan pengiktirafan semakin meluas terhadap E50 sebagai platform berprestij yang mengetengahkan pencapaian syarikat PMKS berprestasi tinggi di Malaysia.

Pada majlis itu, sebanyak 50 syarikat  PMKS disenaraikan sebagai penerima Anugerah E50 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, prestasi dan keupayaan mereka dalam mengembangkan perniagaan.

Anugerah berkenaan mengiktiraf kecemerlangan syarikat PMKS dalam aspek pertumbuhan perniagaan, daya saing, inovasi dan tadbir urus.

-- BERNAMA