KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2027 membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh pendidikan Islam, memelihara tradisi keilmuan, memperkasakan dakwah serta menjaga kebajikan para pendidik dan petugas agama.
Khutbah Jumaat bertajuk “Amanah Ditunai, Manfaat Dituai” yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengingatkan bahawa nilai sesuatu peruntukan terletak pada kebaikan dan manfaat yang sampai kepada rakyat, bukan sekadar jumlah yang diumumkan.
"Di sebalik pelbagai angka yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027, tersimpan harapan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Perhatian yang lebih besar diberikan kepada pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam apabila peruntukannya ditingkatkan berbanding tahun sebelumnya.
"Apabila amanah diurus dengan ilmu dan kejujuran, angka yang tercatat dapat berubah menjadi pendidikan, perlindungan dan kesejahteraan. Angka berada dalam dokumen. Manfaat mesti sampai dalam kehidupan," menurut teks khutbah itu.
Pendidikan pondok dan pengajian turath juga mendapat pujian kerana institusi itu bukan sekadar deretan bangunan atau peninggalan sejarah, sebaliknya wadah para pelajar diasuh untuk mencintai ilmu, menghormati guru serta mendalami khazanah keilmuan para ulama.
"Usaha memperkukuh institusi pondok dan pengajian turath penting agar warisan ilmu Islam terus dipelajari, difahami dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Pada masa yang sama, kemudahan serta latihan kemahiran digital turut disediakan kepada guru dan pelajar pondok," menurut khutbah itu.
Integrasi teknologi tidak hadir untuk menggantikan kitab atau mengurangkan kedudukan guru, sebaliknya menjadi alat membantu ilmu yang disampaikan dengan lebih luas dan berkesan agar pendidikan Islam dapat bergerak maju tanpa kehilangan jati dirinya apabila dipandu oleh ilmu serta adab.
"Bayangkan seorang guru pondok yang selama ini mengajar di dalam kelas yang kecil, dengan kemahiran digital, ilmunya sampai kepada lebih ramai pelajar. Kitab yang dibaca di sebuah pondok boleh dipelajari oleh masyarakat dari tempat yang jauh," menurut kutbah itu.
Khutbah berkenaan turut memuji perhatian kerajaan terhadap kebajikan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang mendidik murid berkeperluan khas termasuk kemahiran bahasa isyarat dan al-Quran Braille, di samping pengukuhan skim perlindungan sosial bagi petugas masjid antaranya imam, bilal, siak dan guru takmir.
"Tugas mereka bukan mudah. Ada guru yang menggerakkan tangan untuk mengajar seorang anak mengenal Allah melalui bahasa isyarat. Ada murid yang tidak dapat melihat, tetapi menyentuh titik-titik Braille untuk membaca kalam Tuhan," menurut khutbah itu.
Menyentuh tadbir urus kewangan negara, kepimpinan dan masyarakat perlu mengambil iktibar daripada model pentadbiran Nabi Yusuf AS yang menekankan dua sifat utama, iaitu hafiz (menjaga amanah) dan ‘alim (berilmu).
Khutbah turut memberikan tiga pesanan, iaitu pengurusan sumber negara hendaklah dilaksanakan sebagai amanah berlandaskan ilmu dan perancangan teliti; nilai peruntukan dinilai berasaskan manfaat sebenar kepada rakyat; serta tanggungjawab setiap pihak, iaitu pengurus jujur, institusi cekap dan masyarakat yang memanfaatkan setiap kemudahan disediakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas mengumuman peruntukan berkaitan hal ehwal agama ditingkatkan kepada RM3.1 bilion berbanding RM2.6 bilion, tahun ini.
Inisiatif itu turut merangkumi pemberian insentif khas RM150 sebulan kepada 500 guru KAFA bagi murid berkeperluan khas, selain tanggungan penuh caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) oleh kerajaan menerusi Lembaga Tabung Haji untuk 40,000 petugas masjid merangkumi imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta guru takmir.
Bagi memelihara keilmuan turath, kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia, di samping menjalinkan kerjasama antara JAKIM dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membekalkan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok di seluruh negara.
-- BERNAMA