IPOH, 15 Okt (Bernama) -- Gua batu kapur purba berusia 400 juta tahun di Sunway Lost World of Tambun (LWOT) bertukar menjadi “mimpi ngeri” apabila kelibat-kelibat menyeramkan berkeliaran di kawasan itu, semasa pratonton media Sawadee Screamfest 5, malam tadi.
Wakil Bernama yang berpeluang menghadiri pratonton tersebut, berasa seram sejuk dengan jeritan dan bisikan menusuk telinga serta kemunculan “hantu” secara tiba-tiba dari kegelapan, yang membuatkan pengunjung ketakutan dan kegelisahan yang amat sangat, walaupun adanya peraturan ketat yang melarang sentuhan fizikal antara “hantu” dan tetamu.
Pengurus Besar Sunway Lost World Of Tambun Brian Francis berkata edisi kelima festival seram tempatan ini, yang berlangsung selama sembilan malam terpilih pada bulan Oktober dan awal November, membawakan kelainan baharu dengan membawa pengunjung mendalami cerita rakyat menyeramkan serta legenda alam ghaib Thailand.
“Dan untuk sembilan malam seterusnya yang berlangsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Oktober, kami akan membawakan malam yang penuh dengan legenda seram Thai, kejutan menyeramkan dan hilaian. Selama beberapa generasi, warisan seram Thai telah memberi kita legenda yang menarik dan kisah-kisah misteri.
“Tahun ini, Taman Tema Sunway menghidupkan kisah-kisah legenda Thai ini di Sunway Lost World of Tambun. Jadi, jika anda mendengar bisikan halus dalam kegelapan atau merasakan sesuatu sedang mengintai dari belakang anda, jangan pandang belakang, terus sahaja larikan diri,” katanya dalam ucapannya di sini, malam tadi.
Mengambil inspirasi daripada kekayaan cerita rakyat dan legenda alam ghaib Thailand, Screamfest tahun ini meneroka dunia budaya unik yang dipenuhi makhluk misteri, pertemuan yang menakutkan dan kisah-kisah yang memberikan pengalaman seram yang mendalam.
Screamfest tahun ini menampilkan lapan tarikan berhantu yang meremangkan bulu roma, masing-masing dengan naratif menakutkannya yang tersendiri seperti Dead Man's Rail, The Curse of Kong Koi, Tandas Phi Kee, Haunted Chamber's yang menampilkan Hong Rai, Kra Hang's Night Flight, The Susuk Chambers, The Eternal Theatre dan Luminous Forest.
Selain rumah hantu, pencari keseronokan juga boleh merasai lima permainan taman tema terpilih termasuk Stormrider, Dragon Flights, Giddy Galleon, Perak Parade dan Swan Lake, di samping tujuh pentas pertunjukan secara langsung.
“Kami mahu menjadi lebih daripada sekadar pengendali tarikan, kami mahu menjadi pencipta pengalaman. Screamfest memberi pasukan kami peluang untuk menjelmakan idea daripada sesuatu konsep kepada realiti, dengan menggabungkan penceritaan, reka bentuk kreatif dan produksi untuk mencipta pengalaman unik kami yang tersendiri.
“Dengan mengambil inspirasi daripada pelbagai budaya dan meneroka cara baharu untuk menghidupkan sesuatu penceritaan, kami dapat terus memenuhi minat pengunjung dan mencipta alasan baharu untuk orang ramai meneroka destinasi kami,” kata Brian.
Berlatarbelakangkan persekitaran tropika yang menghijau serta formasi batu kapur yang dramatik, Sawadee Screamfest 5 melengkapkan gabungan kolam air panas semula jadi, tarikan keluarga dan pengalaman waktu malam sedia ada di destinasi tersebut.
Kawasan pelancongan yang serba lengkap ini juga mempunyai tujuh zon tarikan utama: Taman Air, Taman Hiburan, Taman Haiwan Jinak, Lembah Timah, Taman Pengembaraan, Lembah Harimau dan Taman Malam, disempurnakan lagi dengan persembahan berapi Flaming Percussion dan hidangan tempatan di Ipoh Street.
Sawadee Screamfest 5 berlangsung pada 16, 17, 18, 23, 24, 25, 30, 31 Okt dan 1 Nov 2026, dari 7.25 malam hingga 11.00 malam.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sawadee Screamfest 5 dan juga pembelian tiket, orang ramai boleh melayari pautan https://sunwaylostworldoftambun.com/screamfest5/ atau ikuti Sunway Lagoon Studios di Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan RedNote.
Seperti ingatan awal yang menyeramkan diberikan Brian kepada pengunjung dalam ucapannya sebelum itu, tatkala Sawadee Screamfest 5 secara rasmi membuka pintunya kepada pelawat, jangan lupa bersedia untuk menjerit!
-- BERNAMA