Bermula daripada kecederaan yang dialaminya selepas waktu bekerja, Murkesh (bukan nama sebenar) secara tidak sengaja membongkar tindakan majikannya yang langsung tidak melakukan sebarang caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bagi melindunginya selaku pekerja asing yang bekerja di negara ini.
Akibatnya, PERKESO menyerbu pejabat majikan pengawal keselamatan warga Nepal ini sebelum syarikat itu didakwa dan dikenakan denda kerana gagal melakukan caruman PERKESO bagi pekerja asing mereka.
“Asalnya saya tidak tahu tentang LINDUNG 24 Jam ini sehinggalah rakan saya maklumkan. Kemudian, apabila saya mahu membuat tuntutan, saya dimaklumkan tidak layak kerana majikan tidak mencarum untuk saya.
“Dari situ saya dapat tahu, bukan setakat LINDUNG 24 jam, majikan juga tidak mencarum untuk skim lain bagi pekerja asing seperti saya,” katanya, menerusi jurubahasa, kepada Bernama.
Murkesh bernasib baik kerana mempunyai rakan yang tahu tentang pelbagai manfaat disediakan oleh kerajaan negara ini, khususnya menerusi PERKESO, dalam menjaga kebajikan mereka. Namun, tidak semua pekerja asing yang sah tahu akan perkara itu.
PERLINDUNGAN BUKAN SEKADAR DI TEMPAT KERJA
Sejak 1 Jun lalu, PERKESO menguatkuasakan LINDUNG 24 Jam atau Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja untuk pekerja asing yang layak, sebagai melengkapi dua lagi skim perlindungan untuk pekerja asing di negara ini, iaitu Skim Bencana Pekerja Asing (dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019) dan Skim Keilatan yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2024.
Jika Skim Bencana Pekerja Asing melindungi mereka daripada kemalangan atau penyakit khidmat yang berpunca daripada pekerjaan mereka, Skim Keilatan pula menyediakan jaringan keselamatan sekiranya pekerja asing mengalami keuzuran atau ilat (ketidakupayaan) kekal akibat penyakit kronik, atau kecederaan bukan bencana kerja, yang menyebabkan seseorang hilang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keupayaan dia bekerja. Skim ini turut melindungi kes kematian di luar waktu kerja, tanpa mengira punca kematian.
Melengkapi dua skim ini, PERKESO memperkenalkan LINDUNG 24 Jam bagi menjaga kebajikan pekerja asing yang mengalami kecederaan di luar waktu kerja. Tanpa perlindungan ini, pekerja tersebut terpaksa menanggung sendiri kos rawatan. Di bawah skim ini, gaji pekerja dipotong oleh majikan mengikut kadar ditetapkan dan dicarumkan ke dalam PERKESO.
Pun begitu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, hampir 500,000 pekerja asing yang berdaftar dengan organisasi itu masih belum mempunyai caruman di bawah kesemua skim tersebut.
“Tanpa caruman, pekerja tidak mendapat perlindungan sekiranya berlaku kemalangan kerja, hilang upaya kekal, penyakit khidmat serta faedah kematian.
“Majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan caruman PERKESO dibuat bagi melindungi kebajikan pekerja serta mematuhi peruntukan undang-undang.
“Jika mereka didapati tidak berbuat demikian, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum hingga RM10,000, hukuman penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan di mahkamah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya dalam kenyataan.
AKSES MANFAAT KESIHATAN MASIH RENDAH
Bagaimanapun, dapatan platform Joining.com menunjukkan akses pekerja migran kepada kemudahan penjagaan kesihatan masih rendah.
(Joining.com ialah platform yang diwujudkan bagi memberi ruang kepada pekerja migran berkongsi pengalaman mereka dengan majikan dan agensi perekrutan secara tanpa nama, selain menyediakan maklumat praktikal serta sokongan kepada mereka yang bekerja di luar negara.)
Platform itu tersedia dalam 16 bahasa dan kini memuatkan lebih 5,000 ulasan pekerja, termasuk lebih 2,000 ulasan daripada pekerja migran di Malaysia.
Daripada kira-kira 2,000 ulasan pekerja migran di Malaysia yang dikumpulkan platform berkenaan, hanya 19 peratus menyatakan mereka menerima kemudahan penjagaan kesihatan.
Angka dalam sektor keselamatan lebih rendah dengan hanya lapan peratus pekerja migran menyatakan mereka menikmati kemudahan itu.
Mengulas perkara itu, penggerak sosial, pembantu pengurusan kes dan penyelidik bersekutu North-South Initiative (NSI) Md Abu Sayed berkata ramai majikan memilih untuk tidak membuat caruman PERKESO bagi pekerja asing mereka atas alasan kekangan kos.
“Ramai majikan beranggapan pekerja asing mereka tidak mengetahui hak masing-masing atau inisiatif kerajaan Malaysia bagi melindungi keselamatan dan kebajikan mereka sepanjang berada di negara ini.
“Ada juga pekerja yang bimbang akan kehilangan mata pencarian sekiranya mereka membuat aduan kepada pihak berkuasa. Malah,terdapat kes majikan merampas dan menyimpan dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit pekerja asing mereka,” katanya kepada Bernama.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus, suruhanjaya itu menerima sebanyak 107 aduan sejak 2021, termasuk laporan berkaitan isu hak pekerja seperti ketiadaan perlindungan penjagaan kesihatan, pemotongan gaji kerana mengambil cuti sakit dan waktu kerja yang berlebihan.
Beliau berkata sektor perkhidmatan mencatatkan jumlah aduan tertinggi, khususnya membabitkan pekerja kilang dan pengawal keselamatan, diikuti sektor perladangan.
“Kami menyediakan platform kod QR yang membolehkan pekerja migran membuat aduan secara tanpa nama berkenaan majikan mereka atau sebarang masalah yang dihadapi di luar waktu kerja, termasuk perkara berkaitan caruman kepada skim perlindungan sosial. Platform ini tersedia dalam empat bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Bangladesh, Hindi dan Nepal.
“SUHAKAM juga mengadakan lawatan pemantauan ke pusat tahanan dan bertemu dengan tahanan warga asing.
“Dalam lawatan itu, kami menilai layanan serta keadaan tahanan, termasuk akses mereka kepada penjagaan kesihatan, komunikasi dengan ahli keluarga dan bantuan konsular. Kami juga memastikan mereka diberikan akses yang munasabah kepada wakil kedutaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata sejak 2019, SUHAKAM bekerjasama dengan kedutaan dan aktivis hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN), dalam memperjuangkan hak pekerja migran.
“Ini mencerminkan komitmen kami untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan memberi tumpuan kepada penyiasatan terhadap sebarang kes pelanggaran hak asasi manusia yang dihadapi pekerja migran, menangani kadar kematian yang tinggi serta mengadakan pertemuan dengan PERKESO bagi meningkatkan akses pekerja migran di Malaysia kepada skim perlindungan sosial,” katanya.
SYARAT PERLINDUNGAN
Ketua Bahagian Pekerja Asing PERKESO Hairiri Harun berkata bagi mendapatkan perlindungan PERKESO, seseorang pekerja asing perlu memenuhi beberapa kriteria, antaranya memasuki Malaysia secara sah, mempunyai pas atau permit kerja yang sah serta bekerja dengan majikan berdaftar di negara ini.
Selain itu, katanya pekerja berkenaan perlu mempunyai hubungan majikan-pekerja menerusi kontrak perkhidmatan dan bukannya bekerja secara bebas tanpa majikan.
“Dia mungkin mempunyai pasport dan permit serta bekerja dengan syarikat yang berdaftar di Malaysia, tetapi pekerja itu juga mesti diambil bekerja di bawah kontrak perkhidmatan.
“Dia bukan seorang pekerja bebas (freelance) yang tidak mempunyai majikan. Mesti wujud hubungan antara pekerja dengan majikan,” katanya kepada Bernama.
Hairiri berkata sebelum 2019, pekerja asing di Malaysia tidak dilindungi di bawah skim PERKESO, sebaliknya tertakluk pada mekanisme pampasan pekerja yang dikendalikan menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Menurutnya, keputusan kerajaan memperluas perlindungan PERKESO kepada pekerja asing turut mengambil kira desakan dan pandangan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta badan bukan kerajaan supaya golongan itu diberikan perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya.
“Antara sektor utama yang menggaji pekerja asing ialah perkilangan, perladangan, perkhidmatan dan perlombongan, manakala pekerja domestik ketika itu belum termasuk dalam perlindungan berkenaan.
“Pekerja domestik hanya dimasukkan di bawah perlindungan PERKESO mulai 1 Julai 2021,” katanya.
BANTUAN PENGHANTARAN PULANG
Hairiri berkata pihaknya turut menyediakan bantuan bagi meringankan kos penghantaran pulang jenazah pekerja asing ke negara asal sekiranya berlaku kematian.
Menurut beliau, pihaknya menyedari kos penghantaran pulang jenazah boleh menjadi beban kepada majikan atau pihak yang menguruskannya, justeru satu faedah hingga maksimum RM4,500 disediakan untuk pihak yang menanggung kos berkenaan, tertakluk pada syarat ditetapkan.
“Bantuan berkenaan boleh melibatkan kes kematian berkaitan pekerjaan ataupun yang tidak berkaitan pekerjaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kos menghantar pulang pekerja yang masih hidup tetapi mengalami kecederaan atau masalah kesihatan serius seperti lumpuh, boleh menjadi jauh lebih tinggi.
Memberi contoh satu kes, beliau berkata pihaknya pernah mengendalikan penghantaran pulang seorang pekerja Myanmar yang terlantar akibat kelumpuhan dengan kos melebihi RM50,000.
Pengalaman itu, katanya, antara yang mendorong usaha memperkenalkan perlindungan tambahan berkaitan penghantaran pulang pekerja asing.
OPERASI SECARA BERKALA
Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO Azirruan Ariffin berkata pihaknya komited memastikan tiada golongan yang tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial, dengan pendekatan yang digunakan meliputi kaedah advokasi dan pendudukan dalam pelaksanaan LINDUNG 24 jam, terutamanya kepada majikan yang mempunyai pekerja-pekerja asing.
Katanya operasi secara berkala dijalankan menerusi Op Kesan di seluruh negara bagi mengenal pasti majikan yang didapati melanggar undang-undang, dan mereka akan diberikan amaran serta teguran, selain dikenakan kompaun.
“Berdasarkan pelaksanaan Ops Kesan sejak 2020 hingga September 2026, sebanyak 25,011 notis kompaun berjumlah RM15 juta dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja, manakala 21,177 kes didakwa atas pelbagai kesalahan,” katanya.
pic-8
Azirruan berkata pihaknya turut melaksanakan Bulan Pemutihan (bermula 21 Mei hingga 22 Jun, namun dilanjutkan hingga 30 Jun 2026) sebagai satu pendekatan advokasi dan pematuhan sukarela yang memberi peluang kepada majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka tanpa dikenakan penalti atas kelewatan pendaftaran dan caruman.
“Menerusi inisiatif itu, sebanyak 6,586 majikan serta 281,930 pekerja baharu telah berdaftar, dengan seramai 247,025 adalah pekerja tempatan dan 34,905 pekerja asing,” katanya.