MELAKA, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan Melaka melaksanakan pelbagai inisiatif dan insentif, khusus bagi memperkukuh gerakan koperasi di negeri itu yang melibatkan peruntukan RM700,000 dalam tempoh tiga tahun sejak 2023.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sokongan itu disalurkan menerusi beberapa inisiatif bersasar, antaranya Bantuan Pembangunan Ekonomi Koperasi Kariah Masjid Negeri Melaka, Bantuan Pemerkasaan Koperasi Kluster Mikro serta Bantuan Pemerkasaan Koperasi Pelbagai Kluster atau E-Perkasa.
"Alhamdulillah menerusi inisiatif ini lebih 50 koperasi telah menerima manfaat dan pada malam ini kesinambungan usaha tersebut diteruskan menerusi penyerahan cek cura kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk disalurkan kepada 16 koperasi.
"Bagi kerajaan negeri, bantuan yang diberikan tidak boleh sekadar berhenti sebagai angka peruntukan tetapi kita mahu setiap ringgit yang disalurkan menjadi pemangkin kepada sesuatu yang lebih besar," katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 Peringkat Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SKM Mohd Marzuki Yasoa'.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata gerakan koperasi tidak boleh dibiarkan berjalan sendirian dan kerajaan negeri akan terus menyediakan ruang bagi membolehkan koperasi berkembang, meningkatkan keupayaan dan mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata ia kerana koperasi bukan ekonomi kelas kedua sebaliknya sebahagian daripada kekuatan ekonomi rakyat yang mesti diangkat ke arus perdana.
Dalam pada itu, katanya sehingga 31 Dis lepas gerakan koperasi di Melaka merekodkan aset terkumpul bernilai lebih RM608 juta dengan jumlah perolehan mencecah RM186 juta.
"Saya difahamkan jumlah perolehan tersebut meningkat RM3.86 juta berbanding tahun sebelumnya.
"Di Melaka sahaja, gerakan koperasi telah menjangkau sebanyak 516 buah koperasi berdaftar, melibatkan lebih 177,000 anggota," katanya.
Pada majlis itu, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad meraih tempat pertama Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Melaka 202, diikuti Koperasi Pengusaha Pekerja Malaysia Berhad di tempat kedua dan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Ramuan China Melaka Berhad di tempat ketiga.
Selain itu, Koperasi Baba Nyonya Melaka Berhad dinobatkan sebagai Koperasi Komuniti Terbaik, manakala Koperasi Politeknik Merlimau Melaka Berhad meraih Anugerah Koperasi Institusi Pengajian Tinggi Terbaik dan Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghafar Baba Melaka Berhad memenangi Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik.
-- BERNAMA