Oleh Nurhafizah Tan
KUALA PERLIS, 5 Okt (Bernama) -- Asalnya cuma sebuah projek tebatan banjir yang dibina bagi tujuan keselamatan, namun kini lokasi itu menjadi tarikan ribuan pelancong saban tahun selepas keindahan panorama di situ dikongsikan di media sosial.
Terusan Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh yang merentasi Kampung Wai di sini, membawa pengunjung menyusuri masa lampau di sepanjang formasi batu kapur berusia 500 juta tahun serta kehijauan flora yang menjadi habitat fauna.
Perjalanan menaiki bot sekitar 30 minit itu kemudian membawa pengunjung melalui terowong banjir sepanjang 765 meter yang diterangi cahaya lampu berwarna-warni merentasi Banjaran Nakawan, iaitu antara tarikan utama laluan tersebut.
Menurut pemandu pelancong Muhamad Hairie Akif Shahrun Anuar, 27, Kampung Wai sebelum ini tidak begitu diberi perhatian sebagai destinasi pelancongan, namun keadaan mula berubah apabila gambar dan video mengenai kawasan itu semakin banyak dikongsi di media sosial.
“Dulu tidak ramai yang tahu tentang tempat ini. Sekarang bila orang nampak gambar dan video di media sosial, mereka mula datang sebab nak tengok sendiri dan apabila kita terangkan sejarah tempat ini, mereka lebih teruja sebab baru tahu terusan ini sebenarnya dibina untuk tujuan tebatan banjir,” katanya kepada Bernama pada Program Lawatan Media Cuti-cuti Malaysia Surreal Experiences Perlis anjuran Tourism Malaysia.
Menurut anak jati Perlis itu lagi, situasi tersebut membuka peluang kepada anak tempatan untuk menjana pendapatan melalui aktiviti pelancongan, termasuk berkayak, berbasikal air serta menaiki motosikal roda tiga mengelilingi kampung.
Lebih tiga tahun bekerja sebagai pemandu pelancong, anak muda ini berkata peningkatan jumlah pengunjung yang datang ke Kampung Wai, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, menunjukkan lokasi itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong yang ingin meneroka tarikan alam semula jadi.
Katanya selain pengunjung tempatan, Kampung Wai turut menerima kehadiran pelancong luar yang tertarik dengan keunikan terusan serta pengalaman menyusuri terowong yang merentasi Banjaran Nakawan.
Keindahan Perlis bukan sekadar terletak pada landskap bukit batu kapur dan sawah menghijau, malah negeri kecil di utara Semenanjung itu turut menyimpan pelbagai tarikan yang menjanjikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
Bagi pencinta alam, kembara di Perlis diteruskan dengan meneroka keunikan Gua Kelam, menghirup udara segar di Wang Kelian Viewpoint atau menghayati ekosistem hutan di Stesen Penyelidikan FRIM Mata Ayer.
Selain tarikan alam semula jadi, Perlis turut menawarkan lokasi “Instagrammable” (merakam gambar untuk dimuat naik ke Instagram) seperti Kampung Warna-Warni (Kampung Seberang Ramai) Kuala Perlis dan ladang kenaf di Chuping yang lebih santai dan unik sekali gus menambah pilihan baharu dalam itinerari pelancong.
Pencinta sejarah pula boleh singgah ke Masjid Alwi yang ikonik serta Muzium Kota Kayang untuk menyingkap warisan negeri, manakala syurga beli-belah di Padang Besar Street menjadi pilihan bagi mereka yang gemar membeli-belah dengan pelbagai barangan tempatan dan dari negara jiran.
Kunjungan Perlis tidak lengkap tanpa memanjakan deria rasa dengan gastronomi uniknya seperti laksa Perlis, pulut mempelam yang lemak manis serta hidangan hasil laut segar yang sinonim dengan cita rasa utara.
Pengaruh jiran di sempadan turut menjadikan pilihan makanan di negeri itu lebih pelbagai.
Kepelbagaian tarikan itu membuktikan Perlis bukan sekadar destinasi persinggahan untuk ke negara jiran, sebaliknya mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh diterokai - daripada keindahan alam hinggalah warisan sejarah serta gastronomi tempatan.
-- BERNAMA