CAMERON HIGHLANDS, 30 Sept (Bernama) -- Pelumba pasukan Wheeltop Rotor Chengdu, Petr Rikunov melakukan pecahan pada masa tepat untuk memenangi Peringkat 4 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari Meru Raya ke Cameron Highlands, hari ini.
Pelumba berusia 29 tahun dari Rusia itu menamatkan laluan berbukit sejauh 142.3 kilometer (km) dalam masa tiga jam 29 minit 12 saat, dengan kelebihan tiga saat di hadapan Javier Ibanez dari Caja Rural-Seguros RGA, manakala Alan Jousseaume dari TotalEnergies menduduki tempat ketiga, sembilan saat di belakang.
"Dalam Peringkat 2, saya kehilangan peluang dalam klasifikasi keseluruhan (GC), dan itu membuka ruang kepada kami untuk mencuba melakukan pecahan daripada pencabar setiap hari dan memburu kemenangan peringkat. Hari ini, kami memberikan segala-galanya sepanjang perlumbaan bersama pelumba dalam kumpulan pecahan.
"Kami datang dengan sasaran besar untuk GC menerusi Caicedo Jonathan Klever, tetapi Peringkat 2 amat sukar baginya dan dia tidak mempunyai tenaga yang mencukupi. Jadi, kami mengubah perancangan untuk mencuba melakukan pecahan daripada kelompok utama setiap hari bagi memenangi peringkat, dan hari ini semuanya berjalan lancar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Rikunov berkata keyakinannya untuk melakukan serangan semakin meningkat apabila kumpulan pelarian berjaya mengekalkan kelebihan selesa ketika menghampiri penghujung pendakian.
"Apabila berbaki lima kilometer, saya mendapat maklumat daripada pengarah sukan menerusi radio pasukan bahawa kami mempunyai kelebihan dua minit 30 saat berbanding peloton.
"Saya menunggu masa yang sesuai untuk menyerang dan apabila berbaki satu kilometer, saya terus memberikan segala-galanya dan tidak menoleh ke belakang," katanya.
Pelumba yang pernah memenangi peringkat Tour of Magnificent Qinghai pada Julai tahun lalu itu turut melahirkan kegembiraan dapat beraksi di jalan raya Malaysia, sambil menyifatkan pendakian ke Cameron Highlands dengan kecerunan yang konsisten sesuai dengan gaya tunggangannya.
Mengulas Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands esok, Rikunov mengakui pendakian itu akan menjadi cabaran berbeza berikutan kecerunannya yang jauh lebih mencabar.
"Esok pendakiannya berbeza, sangat curam dengan kecerunan purata sekitar 18 atau 19 peratus, dan pendakian ini bukan untuk saya. Mungkin sesuai untuk Caicedo, tetapi masih ada beberapa peringkat lagi dan kami akan terus mencuba untuk memenangi peringkat kerana apa sahaja boleh berlaku," katanya.
Kemenangan bergaya Rikunov di laluan berbukit itu turut membolehkannya merampas jersi Polka Dot selaku Raja Bukit (KOM) dengan 29 mata, mengatasi Javier Ibañez Beltran de Salazar dari Caja Rural-Seguros RGA (20 mata) dan Lennart Jasch dari Tudor Pro Cycling Team (19 mata).
Dalam persaingan klasifikasi keseluruhan (GC), Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team mengekalkan jersi Oren dengan catatan keseluruhan 15 jam 46 minit 50 saat, sambil terus mendahului dua pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone (+20 saat) dan Jan Castellon (+38 saat).
Jersi Putih selaku Pelumba Asia Terbaik kekal milik Yuhi Todome dari Aisan Racing Team dengan catatan 15:51:50, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie, berada di tempat kedua (+35 saat), diikuti rakan senegara, Tsen Ren Bao, di tempat ketiga (+50 saat).
Sementara itu, jersi Biru bagi klasifikasi Raja Pecut masih dikuasai Matteo Malucelli dari XDS Astana Team dengan 32 mata, diikuti Riley Pickrell (24 mata) dan Ronan Augé (14 mata).
Peringkat 5 esok membabitkan laluan sejauh 125.7 kilometer dari Tapah ke Genting Highlands, dengan tiga zon pecut di Slim River, Tanjung Malim dan Batang Kali sebelum perlumbaan berakhir dengan pendakian Hors Class (Genting Highlands) yang mencabar.
-- BERNAMA