Dunia 16/09/2026 10:07 AM

Pelancong Malaysia Ke Uzbekistan Meningkat Dua Kali Ganda Bagi Jan-Ogos 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelancong Malaysia Ke Uzbekistan Meningkat Dua Kali Ganda Bagi Jan-Ogos 2026
--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Jumlah pelancong dari Malaysia ke Uzbekistan meningkat dua kali ganda kepada 10,500 orang bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding 5,300 orang dalam tempoh sama tahun lepas, menunjukkan peningkatan minat terhadap Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan yang menarik bagi rakyat Malaysia.

Pada masa sama, lebih 16,000 warga Uzbekistan mengunjungi Malaysia pada separuh pertama tahun ini, meningkat 62 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur.

“Hasil usaha pemimpin kedua-dua negara, hubungan dua hala antara Uzbekistan dan Malaysia terus berkembang secara konsisten berlandaskan prinsip persahabatan, saling mempercayai dan rasa hormat,” menurut Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Selasa.

Semasa lawatan rasmi Presiden Uzbekistan ke Malaysia pada 4 hingga 5 Feb 2025, kedua-dua pihak bersetuju untuk mempromosikan potensi pelancongan ziarah Uzbekistan di Malaysia serta meningkatkan lagi aliran pelancong antara kedua-dua negara.

“Terdapat potensi besar untuk memperluas hubungan dalam sektor pelancongan yang akan membawa manfaat ekonomi dan menggalakkan pertukaran budaya.

“Langkah penting dalam memperkukuh hubungan pelancongan antara Uzbekistan dan Malaysia ialah pelaksanaan kemudahan bebas visa bagi rakyat kedua-dua negara untuk tempoh sehingga 30 hari,” menurut kedutaan itu.

Menurut kedutaan berkenaan, hubungan sejarah dan budaya antara Uzbekistan dan Malaysia turut memberi pengaruh positif terhadap kerjasama pelancongan.

Kedua-dua negara amat berbangga dengan warisan budaya Islam yang dikongsi bersama, menurut kedutaan itu sambil memaklumkan bahawa bandar bersejarah di Uzbekistan seperti Samarkand, Bukhara dan Khiva merupakan pusat kebudayaan dan keilmuan Islam sejak zaman dahulu.

“Ia menarik minat pelancong Muslim dari seluruh dunia, termasuk dari Malaysia,” menurut kedutaan itu.

Kedutaan itu memaklumkan bahawa kesalinghubungan udara yang semakin baik merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelancong, dengan Uzbekistan Airways dan Batik Air mengendalikan penerbangan terus bagi laluan Kuala Lumpur-Tashkent-Kuala Lumpur.

Sejak 14 Dis 2025, Batik Air turut mengendalikan penerbangan terus antara Langkawi dan Tashkent sekali seminggu.

Kedutaan itu memaklumkan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Uzbekistan melaksanakan usaha secara meluas untuk membangunkan infrastruktur mesra Muslim, termasuk ruang solat baharu serta hotel dan restoran halal.

Menurut kedutaan itu, Samarkand dan Bukhara yang merupakan pusat kerohanian dan sejarah utama menarik kumpulan pelancong dari Malaysia.

Kedutaan itu memaklumkan bahawa selama lebih 2,700 tahun, Samarkand berada di persimpangan tamadun dan menjadi antara pusat kebudayaan, perdagangan dan intelektual terpenting di sepanjang Laluan Sutera.

Pada Mac 2026, kerajaan Uzbekistan telah membuka Kompleks Memorial Imam al-Bukhari yang mampu menerima sehingga 65,000 pengunjung sehari, meningkat berbanding kapasiti sebelumnya sebanyak 12,000 orang.

Kompleks itu dikenali sebagai tempat persemadian terakhir Muhammad ibn Isma’il al-Bukhari (810-870 Masihi), tokoh ulama hadis terkemuka.

Kedutaan itu memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pelancongan Uzbekistan sedang giat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Pada 2026, puluhan lawatan timbal balik oleh delegasi pelancongan dan kebudayaan Uzbekistan dan Malaysia diadakan.

Bagi terus mempromosikan pelancongan serta kerjasama perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara, kedutaan itu memaklumkan bahawa delegasi daripada Jawatankuasa Pelancongan Uzbekistan, Hal Ehwal Agama, Kerajaan Wilayah Samarkand, Kerajaan Wilayah Syrdarya, Kerajaan Wilayah Fergana serta syarikat dan agensi pelancongan Uzbekistan mengadakan lawatan ke Malaysia antara Januari hingga Ogos 2026.

Delegasi pelancongan dan kebudayaan Uzbekistan turut menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur edisi April dan September 2026 serta MATTA Muslim Friendly Fair yang diadakan pada 4 hingga 5 Julai.

Sementara itu, memetik laporan Jawatankuasa Pelancongan, kedutaan berkenaan memaklumkan jumlah pelancong asing yang melawat Uzbekistan mencecah 9.1 juta orang dari Januari hingga Ogos 2026, meningkat 21.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pada 2025, negara itu merekodkan 11.7 juta pelawat antarabangsa, meningkat daripada 10.2 juta pada 2024.

-- BERNAMA