Am 16/09/2026 10:03 AM

KDN Tegas Musnah Rantaian Sindiket Pas Kerja Haram Daripada Akar Umbi - Saifuddin Nasution

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KDN Tegas Musnah Rantaian Sindiket Pas Kerja Haram Daripada Akar Umbi - Saifuddin Nasution
Kredit : Fb Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 16 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) tegas untuk memusnahkan rantaian sindiket yang memanipulasi sistem pekerja asing dan memalsukan dokumen daripada akar umbi tanpa sebarang toleransi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak lagi bersikap bertahan, sebaliknya bertindak secara menyerang untuk melumpuhkan punca utama sindiket.

“Kepimpinan KDN tegas memusnahkan rantaian penipuan ini dari akar umbi tanpa sebarang toleransi. Sepanjang saya menerajui KDN, kami membuktikan bahawa kuasa pentadbiran mesti digunakan secara berani demi melindungi keselamatan negara,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution berkata ketegasan itu dibuktikan menerusi penguatkuasaan pantas dan tanpa kompromi oleh JIM dalam Ops Serkap pada 14 Sept lepas, yang menyaksikan 11 premis di kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, digempur secara serentak.

Beliau berkata operasi itu membawa kepada penahanan 30 warga asing dengan 11 daripadanya disyaki dalang utama, terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita Bangladesh yang mengendalikan premis berkenaan.

Sebanyak 19 lagi warga asing terdiri daripada 16 warga Bangladesh, seorang Myanmar dan dua Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Dalam operasi itu, 18 komputer riba, 21 pencetak dan pengimbas, tiga telefon bimbit serta 10 pasport antarabangsa Bangladesh dirampas, selain cetakan Pas Lawatan Kerja Sementara elektronik (e-PLKS) dan laporan polis palsu.

Saifuddin Nasution berkata e-PLKS palsu dijual pada harga RM150 sehelai, manakala laporan polis palsu pada harga RM70 setiap satu.

Kegiatan sindiket itu bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran imigresen, malah mengancam keselamatan awam dan membuka ruang kepada pencerobohan warga asing secara haram.

Kerajaan MADANI komited memastikan sistem imigresen bersih, mengawal ketat pintu masuk negara dan melindungi pasaran kerja tempatan daripada dieksploitasi sindiket haram.

“Malaysia bukan padang permainan untuk penjenayah. Mana-mana pihak asing atau warga tempatan yang cuba melanggar undang-undang, memalsukan dokumen, atau mengendalikan aktiviti haram akan diburu, ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas,” katanya.

Beliau berkata tiada kompromi terhadap sindiket haram dan KDN akan terus menggempur pemalsu dokumen demi memelihara kedaulatan negara.

-- BERNAMA