Am 04/09/2026 07:43 PM

Agong Saksikan Perlawanan Separuh Akhir Pertama Polo Super Crown Johor 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Agong Saksikan Perlawanan Separuh Akhir Pertama Polo Super Crown Johor 2026
kredit: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU, 4 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Polo Super Crown Johor (JSCPT) 2026.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda diiringi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Perlawanan separuh akhir pertama antara pasukan Temasek dan Korea Polo itu berlangsung pagi tadi di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi di sini. 

Dikategorikan sebagai kejohanan elit berstatus 22 jaringan, penganjuran itu mencatat sejarah sebagai kejohanan polo terbesar dan paling berprestij yang pernah diadakan di Malaysia. 

Kejohanan itu digerakkan menerusi visi bersama Tunku Mahkota Ismail dan ikon polo dunia Pablo “Polito” Pieres dengan matlamat mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi utama dalam arena sukan mewah antarabangsa.

Lima pasukan elit, iaitu Royal Johor, Temasek, JCorp, Korea Polo dan Digital Bridge mengambil bahagian dengan menampilkan barisan pemain antarabangsa berkaliber, termasuk pemain yang pernah beberapa kali muncul juara Terbuka Argentina.

-- BERNAMA