Am 30/08/2026 12:19 PM

Ahmad Zahid Sempurnakan Pelepasan Maraton Malaysia 5km 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ahmad Zahid Sempurnakan Pelepasan Maraton Malaysia 5km 2026
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (enam, kanan) dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (lima, kanan) ketika hadir Majlis Flag Off bagi kategori 5 kilometer pada Program Malaysia Marathon 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Jalan Ampang hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan (tujuh, kanan) Penganjuran julung-julung kali itu turut menampilkan kelainan apabila pekarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dipilih sebagai garisan penamat bagi kesemua kategori, menggantikan lokasi yang menjadi kelaziman, iaitu Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyempurnakan upacara pelepasan bagi kategori 5 kilometer (km) Larian Ria melibatkan 10,000 peserta Program Malaysia Marathon 2026.

Program yang berlangsung di pekarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) itu, dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sebelum upacara pelepasan bermula, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk nyanyian lagu kebangsaan “Negaraku”, serta persembahan Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Satu kelainan yang mencuri tumpuan ialah perarakan bendera Malaysia sepanjang satu kilometer, yang dibawa oleh 1,000 pelajar Kolej Poly-tech MARA (KPTM) Bangi.

Penganjuran kejohanan julung kali itu yang mendapat pengiktirafan badan olahraga dunia World Athletics, secara keseluruhan berjaya menghimpunkan sebanyak 25,000 pelari tempatan dan antarabangsa, bagi empat kategori dipertandingkan.

Tirai kejohanan dibuka dengan pelepasan kategori 42km Maraton Penuh di pekarangan Pavilion Kuala Lumpur oleh Tiong King Sing melibatkan 2,000 pelari, diikuti kategori 21km (8,000 peserta) dan 10km (5,000 peserta) yang bermula awal pagi tadi.

Edisi kali ini turut menyaksikan pekarangan KLCC dipilih sebagai garisan penamat bagi kesemua kategori, sekali gus menggantikan lokasi yang menjadi kelaziman sebelum ini, iaitu Dataran Merdeka.

Sementara itu, Presiden Malaysia Marathon Eddy Casmady berkata pihaknya merancang untuk menganjurkan edisi tahun hadapan selama dua hari, iaitu pada 14 dan 15 Ogos bagi memberi lebih ruang dan keselesaan kepada peningkatan jumlah peserta dalam serta luar negara.

Beliau menjelaskan meskipun laluan larian sedia ada telah mendapat pengiktirafan sehingga tahun 2030, pihaknya tetap mengkaji laluan yang mempunyai tahap lebih baik, bagi membantu pelari mencatatkan masa terbaik peribadi. 

“Insentif berjumlah RM50,000 yang ditawarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan tahun ini akan dibawa ke edisi akan datang, sebagai galakan berterusan kepada pelari tempatan untuk mencatatkan pencapaian lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai keunikan penganjuran itu, Eddy berkata pelepasan peserta yang bermula pada jam 12 tengah malam merupakan identiti larian berkenaan bagi memudahkan peserta beragama Islam menyelesaikan larian sebelum waktu Subuh, sekali gus membezakannya dengan acara maraton lain di Malaysia.

-- BERNAMA