KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- FGV Holdings Bhd melantik Nurul Muhaniza Hanafi sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa hari ini, sekali gus menjadi wanita pertama menerajui syarikat itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata Nurul Muhaniza, yang mempengerusikan jawatankuasa eksekutif lembaga sejak Mac, mengambil alih fungsi dan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, termasuk menerajui operasi, keutamaan strategik serta inisiatif transformasi utama FGV.
Beliau dilantik menganggotai lembaga pengarah FGV pada 1 April 2024 sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
Nurul Muhaniza sebelum itu mempengerusikan jawatankuasa tadbir urus dan pengurusan risiko lembaga serta menganggotai jawatankuasa pencalonan dan imbuhan serta jawatankuasa audit lembaga.
Kini beliau merupakan Pengarah MSM Malaysia Holdings Bhd dan turut mempengerusikan jawatankuasa pelaburan dan tender syarikat itu. Beliau juga menganggotai jawatankuasa audit, tadbir urus dan risiko serta jawatankuasa kelestarian lembaga.
Selain itu, beliau turut mempengerusikan FGV IFFCO Sdn Bhd, Pengarah Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd dan Nilai Education Sdn Bhd serta menganggotai lembaga gabenor Nilai University.
Pengerusi FGV Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata pelantikan Nurul Muhaniza sebagai wanita pertama menerajui FGV merupakan pencapaian penting kumpulan itu, selain mencerminkan komitmen lembaga terhadap kepimpinan berasaskan merit dan keupayaan serta usaha memperkukuh kepelbagaian dan keterangkuman.
-- BERNAMA