Am 18/08/2026 07:17 PM

Untung Bersih Johor Plantations Susut Kepada RM51 Juta Pada Suku Kedua

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Untung Bersih Johor Plantations Susut Kepada RM51 Juta Pada Suku Kedua
Johor Plantations Group Bhd

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Johor Plantations Group Bhd (JPG) susut kepada RM51.15 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2026 (S2 2026) berbanding RM75.20 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. 

Menurutnya, prestasi yang lemah itu terutamanya disebabkan oleh kos jualan yang lebih tinggi, yang sebahagiannya diimbangi oleh harga jualan purata minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi. 

Bagaimanapun, pendapatan syarikat bagi suku di bawah kajian meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada RM415.84 juta daripada RM398.29 juta sebelumnya, didorong oleh jualan yang kukuh daripada minyak sawit mentah (MSM) kumpulan itu.

“Pendapatan daripada jualan MSM kumpulan meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada RM343.04 juta pada suku kedua 2026 daripada RM323.39 juta pada suku kedua 2025, berikutan harga jualan MSM yang lebih tinggi. Ini sebahagiannya diimbangi oleh jumlah penghantaran MSM yang lebih rendah. 

“Hasil jualan PK merosot sebanyak 2.1 peratus kepada RM71.55 juta daripada RM73.07 juta susulan jumlah penghantaran PK yang lebih rendah. Ini sebahagiannya diimbangi oleh harga jualan PK yang lebih tinggi,” menurutnya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia. 

Bagi separuh pertama 2026 (S1 2026), keuntungan bersih kumpulan itu menyusut kepada RM101.50 juta daripada RM151.12 juta tahun lepas, manakala pendapatan meningkat 4.6 peratus kepada RM772.54 juta, disokong oleh hasil yang lebih tinggi daripada jualan MSM kumpulan. 

Oleh itu, JPG menjangkakan pasaran minyak sawit akan kekal disokong oleh permintaan penyimpanan semula stok bermusim, mandat biodiesel B50 Indonesia dan kitaran penuaian puncak tanaman bermusim. 

“Bagaimanapun, kumpulan itu akan terus mengawasi perkembangan luaran, termasuk jangkaan peristiwa El Niño, ketegangan geopolitik di Asia Barat dan pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

“Kami kekal berwaspada dan optimis untuk mencapai prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026,” tambahnya.  

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, syarikat perladangan itu menjelaskan bahawa ia terus memberi tumpuan untuk mengukuhkan asas huluannya dengan mempercepatkan penanaman semula, penggunaan bahan tanaman yang berkualiti dan inisiatif berterusan dalam penambahbaikan ladang.

Pengarah Urusannya, Mohd Faris Adli Shukery berkata kumpulan itu terus memperkukuh asas perniagaannya dengan pengurusan estet yang berdisplin, menyegerakan penanaman semula, mengembangkan ekosistem tanaman luaran kami dan pembangunan berterusan Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC).

“Kesemua inisiatif ini memperkukuhkan strategi rantaian nilai bersepadu kami dan kedudukan JPG bagi penciptaan nilai jangka panjang yang mampan,” tambahnya. 

Kumpulan tersebut turut mengisytiharkan dividen interim 1.10 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026, yang akan dibayar pada 14 September 2026. 

-- BERNAMA