KOTA KINABALU, 18 Ogos (Bernama) -- Menonton aksi jaguh lontar peluru dunia, Ryan Crouser, seminggu sebelum pertandingan menjadi sumber inspirasi utama atlet Sabah, Earl Isaac Mitzler Fredolin, untuk meraih pingat emas acara itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 Ahad lepas.
Earl Isaac, 18, berkata pengamatannya terhadap teknik balingan atlet Amerika Syarikat itu bukan sahaja menyuntik motivasi, malah membantu memperbaiki rentak lontarannya sehingga menghasilkan catatan 15.11 meter (m) pada percubaan kelima.
"Saya menonton video-video Ryan Crouser seminggu sebelum bertanding untuk mendapatkan rentak dan motivasi. Sebagai juara dunia, caranya lain daripada yang lain dan banyak membantu saya memperbaiki teknik lontaran," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Crouser ialah pemenang pingat emas Olimpik tiga kali berturut-turut pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, 2020 (Tokyo) dan 2024 (Paris), selain memegang rekod dunia acara lontar peluru luar dewan dengan catatan 23.56m dan dalam dewan 22.82m.
Anak sulung daripada empat beradik kelahiran Kampung Gayang, Tuaran, yang kini menuntut di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, menewaskan dua atlet Sarawak, Jorez Puang Yi Jun yang meraih perak dengan catatan 14.94m dan Hii Seng Yan yang memenangi gangsa selepas melakukan lontaran 13.94m.
Sebagai rekod, atlet muda Sabah itu pernah mencatat rekod peribadi 15.32m menggunakan peluru seberat 7.26 kilogram pada Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) di Johor pada September tahun lepas.
Menurut beliau, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran selepas disahkan menjuarai acara tersebut adalah ahli keluarganya.
"Kemenangan ini menjadi bukti pengorbanan sepanjang bergelar atlet... segala titik peluh dan luka dibayar dengan pingat emas yang saya impikan selama ini.
"Kejayaan ini juga ditujukan khas buat rakyat Sabah yang sentiasa menyokong kontinjen negeri," katanya sambil menambah kejayaan itu turut dibantu bimbingan jurulatihnya, Suhaimin Kinsoi, khususnya dalam penambahbaikan teknik dan mentaliti ketika bertanding.
Mengenai perancangan masa depan, Earl Isaac menyasarkan untuk mewakili negara pada Sukan SEA 2027 dan akan berusaha melayakkan diri menerusi kejohanan yang bakal disertainya.
-- BERNAMA